Datuk Seri Najib Tun Razak. foto SYAFIQ AMBAK, 03 DISEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak menegaskan SRC International Sdn Bhd bukanlah syarikat Perdana Menteri, seperti yang dicadangkan oleh Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas yang mengetuai pasukan pendakwaan perbicaraan kes berkenaan.

Bekas Perdana Menteri itu berkata demikian ketika dirujuk keterangan saksi pendakwaan ke-41, Timbalan Setiausaha Bahagian Pelaburan Strategik Kementerian Kewangan Afidah Azwa Abdul Aziz yang menyifatkan syarikat itu dimiliki Najib.

“Saya tidak bersetuju,” tegasnya kepada Mahkamah Tinggi hari ini.

Tommy kemudian mempertikaikan kenyataan Najib tentang penubuhan SRC International yang dilihat mencurigakan dan mendakwa bekas Perdana menteri itu mempunyai kepentingan peribadi ke atas syarikat tersebut.

Bagaimanapun Najib berkata, SRC International ditubuhkan kerana wujudnya keperluan strategi pembangunan negara dengan peluang pelaburan yang boleh diraih daripadanya.

Sehubungan itu, katanya adalah normal sebuah syarikat seperti SRC International ditubuhkan dalam masa yang singkat.

“SRC ditubuhkan kerana ada keperluan strategi pembangunan negara kita oleh kerana dinyatakan ada peluang pelaburan maka keperluan kewangan SRC perlu diusahakan.

“Aatas sebab itulah perkara ini dilakukan dan saya hendak nyatakan bukan suatu perkara luar biasa keperluan-keperluan mana-mana syarikat baru diusahakan dalam masa yang singkat,” tambahnya.

Najib juga menegaskan, beliau tidak mempunyai kepentingan peribadi sebagai Perdana Menteri dalam memberi jaminan kerajaan kepada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) bagi pinjaman yang dibuat SRC.

“Saya tidak bersetuju. Saya yakin bahawa tidak ada kepentingan peribadi saya amat jelas tentangnya,” katanya.

Sementara itu, pertikaian tercetus antara pasukan pembelaan dengan pendakwaan berhubung dokumen mengenai Najib dicalonkan sebagai wakil korporat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan juga SRC International.

Pasukan Pembelaan yang diketuai Tan Sri Shafee Abdullah berkata, pihak pendakwaan tidak sepatutnya mengemukakan soalan berkaitan dokumen yang dikatakan mempunyai tanda tangan tertuduh dan menjadi fokus dalam perbicaraan itu.

Membalas hujah Shafee, Timbalan Pendakwaraya V. Sithamabaram berkata, soalan berkenaan dokumen tersebut perlu dibenarkan sebelum mahkamah membuat keputusan bahawa ia tidak asli berdasarkan keterangan Najib.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mohd Nazlan Mohd Ghazali membenarkan Tommy meneruskan soalan tentang dokumen yang dikatakan mempunyai tandatangan bekas Perdana Menteri itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast