Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah tidak dihalang mendapatkan maklumat tentang kedudukan wang SRC International berjumlah RM3 bilion yang dibekukan di Switzerland, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sebaliknya bekas Perdana menteri itu berkata, juruaudit 1Malaysia Development Berhad (1MDB) telah pergi ke negara itu terlebih dahulu sebelum Husni membuat permohonan tidak rasminya.

Tambah beliau, juruaudit yang menilai kedudukan kewangan dilaporkan berpuas hati terhadap lawatannya itu.

“Tidak benar (bahawa saya bimbang Husni dapat mengetahui bahawa wang itu telah dicuri) dan tidak benar (saya tidak mahu ‘muslihat’ kamu diketahui apabila seorang menteri Kabinet kamu ke Switzerland).

“Permohonan (Husni mahu ke Switszerland) itu tidak rasmi, ia cuma diperkatakan sekarang, saya diberitahu bahawa ada delegasi sebelumnya yang pergi ke sana bagi pihak 1MDB termasuk juruaudit, mereka berpuas hati dengan apa yang mereka dapati dalam lawatan itu,” katanya.

Pada 6 Ogos yang lalu Ahmad Husni memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa beliau telah memohon untuk mengetuai delegasi dalam menyelesaikan masalah dana SRC International Sdn Bhd yang dibekukan di Switzerland tetapi Najib yang ketika itu juga Menteri Kewangan I tidak bersetuju.

Husni selain itu pernah memaklumkan, difahamkan bahawa dana syarikat itu yang berjumlah RM3 bilion telah dibekukan oleh pihak berkuasa Switzerland atas kesalahan pengubahan wang haram.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.