Perdana Menteri merangkap Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr. Mahathir Mohamad bersama Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 23 NOVEMBER 2019.

KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini melahirkan apa yang terbuku dalam hatinya apabila bercakap tentang penggantinya sebagai Perdana Menteri ke-8 kelak.

Mahathir yang kini berada di Doha ketika ditemuramah oleh media antarabangsa mengulangi kembali janji peralihan kuasa kepada bakal Perdana Menteri yang sedang ‘menunggu’, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ini.

Bagaimanapun pada masa yang sama, beliau berkata, tidak ada sebarang jaminan yang boleh diberikan olehnya adakah pengganti beliau untuk menerajui negara ini adalah pilihan ‘terbaik’.

“Seperti yang saya janjikan, saya akan tetap lepaskan jawatan ini. Terlebih dahulu, saya sedang meyelesaikan dulu masalah-masalah besar yang telah ditinggalkan oleh pentabiran terdahulu.

“Saya janji akan letak jawatan dan serahkan kepada calon yang telah ditetapkan dalam gabungan PH ini,” katanya.

Mahathir yang kini sudah berusia 94 tahun merujuk kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) yang didakwa telah menggagalkan Wawasan 2020 yang kini terpaksa di gantikan pula tarikhnya kepada Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

Katanya, ketika disoal seandainya beliau terus memegang jawatan Perdana Menteri sehingga 2030, beliau menegaskan akan meletak jawatan seperti yang dijanjikan.

Namun Mahathir tidak menyebut tarikh beliau akan melaksanakan peralihan kuasa mahupun meletak jawatan itu secara jelas.

Ketika di soal adakah Anwar merupakan calon terbaik bagi menggantikan beliau, kata Mahathir secara terus terang dirinya tidak akan dapat memberikan sebarang jaminan.

“Saya tidak boleh berjanji yang ‘terbaik’, ini kerana saya sememangnya sudah mempunyai pengalaman buruk dengan pengganti-pengganti saya sebelum ini, sebaik memegang tampuk kuasa, mereka berbuat perkara lain,” tegasnya.

Apabila beliau ditanya pula tentang hubungan antara beliau dengan Anwar yang ternyata dengan ‘sejarah silam’ sebelum ini, kata Mahathir, agenda serta kepentingan negara lebih penting daripada emosi peribadi antara mereka.

“Kita telah membuat keputusan untuk melupakan sahaja apa yang telah berlaku sebelum ini sambil mengorak ke hadapan demi kepentingan negara berbanding perbalahan peribadi,” tegasnya.

Mahathir berkata dalam wawancara Reuters sebelum ini, dirinya mungkin akan menyerahkan kuasa kepada Anwar yang juga Presiden PKR dan Ahli Parlimen Port Dickson selepas Sidang Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) yang berakhir pada November 2020. –MalaysiaGazette