Gambar hiasan

KOTA BHARU – Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA9) berjaya merampas daun ketum, ubat batuk dan daging ayam beku yang dianggarkan bernilai hampir RM100,000 dalam tiga operasi berhampiran sempadan Malaysia-Thailand, semalam.

Pegawai Pemerintah PGA9, Supt Nor Azizan Yusof berkata, kesemua tangkapan dan rampasan dilakukan oleh Cawangan Risikan PGA9 bermula pukul 1 pagi hingga 7.30 pagi.

Beliau berkata, tangkapan dan rampasan pertama dilakukan melibatkan seorang lelaki berusia 24 tahun berasal dari Kubang Gadong, Pasir Mas bersama 35 kilogram daun ketum dan 576 botol cecair dipercayai ubat batuk.

Katanya dalam kejadian itu, anggota Cawangan Risik yang membuat rondaan terserempak dengan sebuah kereta dalam keadaan mencurigakan di pangkalan haram Gergaji dekat pekan Rantau Panjang.

“Selepas ditahan dan diperiksa, pihak kami menemui bungkusan lutsinar mengandungi daun ketum. Pemeriksaan lanjut di bahagian but menemui pula ratusan botol berisi ubat batuk,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Nor Azizan berkata, lelaki berkenaan kemudiannya ditahan dan kesemua rampasan diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas untuk tindakan selanjutnya dan disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 15 (1) ADB 1952.

“Jumlah keseluruhan rampasan melibatkan daun ketum, ubat batuk serta kenderaan adalah sebanyak RM46,985,” katanya.

Sementara itu, dalam kes berasingan pada hari yang sama, Cawangan Risik juga berjaya merampas sebanyak 120 kotak berisi 1,440kg daging ayam beku berhampiran Kampung Tok Sangkut dekat Jeram Perdah, Pasir Mas.

Nor Azizan berkata dalam kejadian pukul 6.30 pagi itu, anggotanya yang membuat rondaan telah terserempak dengan dua buah kereta dalam keadaan mencurigakan berhampiran Jeram Perdah dipercayai baru keluar dari satu pangkalan haram berdekatan.

Menurutnya, ketika cuba ditahan, pemandu kedua-dua kereta itu memecut kenderaan dan dipercayai cuba melarikan diri daripada pemeriksaan.

Dalam kejadian itu, katanya, pemandu sebuah daripada kereta itu berhenti di tepi jalan dan melarikan diri ke dalam semak serta meninggalkan kenderaan di situ manakala sebuah lagi terus memecut ke arah Kampung Tok Sangkut dan menghilangkan diri.

“Pemeriksaan yang dijalankan mendapati ada 60 kotak berisi daging ayam beku seberat 720kg dipercayai diseludup masuk dari negara jiran,” katanya.

Jelasnya, kira-kira sejam selepas itu anggota Cawangan Risik menemui pula sebuah lagi kereta tersadai tanpa pemandu di bahu jalan dekat Kampung Tasik Berangan, Pasir Mas, dipercayai yang berjaya lolos dalam kejadian sebelum itu dan ditinggalkan kerana bimbang dijejaki pasukan PGA9.

“Pemeriksaan ke atas motokar tersebut didapati turut berisi muatan 60 kotak ayam beku disyaki diseludup dari Thailand.

“Kesemua kenderaan bersama muatan dalam dua kes berkenaan itu dianggarkan bernilai RM46,000 dan diserah kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk tindakan lanjut di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya. – MalaysiaGazette