KUALA LUMPUR – Kehilangan ribuan pekerjaan dalam era pentadbiran Pakatan Harapan (PH) dilihat lebih cenderung kepada industri yang mempunyai kepentingan dengan Bahasa Kebangsaan.
Menurut Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, perkara itu dilihat berasas dengan langkah penutupan Utusan Melayu (M) Berhad pada Oktober lalu hingga mengorbankan hampir 1000 kakitangan.
Mimpi ngeri itu tidak terhenti di situ bahkan bulan lalu juga Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) mengumumkan beratus orang pekerjanya akan ditamatkan perkhidmatan dalam masa sebulan dua ini.
“PH naik dengan menjanjikan sejuta pekerjaan baru. Namun apa yang berlaku sejak setahun ini ialah makin ramai hilang pekerjaan. Tahun ini sahaja berpuluh ribu orang telah hilang pekerjaan.
“Apa yang lebih menyedih dan membimbangkan, terdapat kecenderungan kehilangan kerja ini membabitkan kepentingan bahasa kebangsaan.
“Apa sebenarnya yang berlaku kepada negara kita ini? Adakah semua pemberhentian membabitkan industri yang mengembang dan menyuburkan bahasa kebangsaan atau faktor ekonomi atau kerana sikap tidak peduli kerajaan?” katanya dalam posting terbaru di Facebook miliknya, hari ini.
Mohamad juga melahirkan kebimbangan sekiranya perkara ini berterusan, tidak mustahil nasib yang sama akan menimpa agensi kerajaan iaitu Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
“Seminggu ini terdapat ura-ura bahawa beribu pekerja Media Prima di TV3, NTV7, 8TV, TV9, New Straits Times, Berita Harian dan Harian Metro bakal diberhentikan.
“Saya khuatir, tidak lama lagi DBP juga akan berhadapan dengan tindakan rasionalisasi sumber, yang hampir sama,” katanya.
Mohamad menggesa rakyat menilai semula tindak-tanduk Kerajaan PH hari ini, seolah-olah tidak mempedulikan beberapa badan yang mengangkat kepentingan Bahasa Kebangsaan, malah membiarkannya terus berkubur.
“Kepada yang berhadapan musibah kehilangan kerja ini, bertabahlah. Insya Allah ada rezeki di jalan lain. Rakyat terutama orang Melayu, boleh menilai sendiri sikap dan tindak-tanduk parti pemerintah hari ini.
“Dulu mereka punya seribu jawapan membela nasib pekerja, hari ini mereka buat-buat tidak nampak ‘gajah di depan mata’.
“Kerajaan punya banyak kuasa dan pengaruh, mengurangkan beban rakyat, termasuk membantu industri berkaitan ilmu dan bahasa kebangsaan. Namun kuasa sentiasa menguji dan mengalpakan manusia,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
Tahniah la pada pengundi KERAjaan PeeH pru14 lalu 🙂
Alahai…. dondang sayang……
Tiada apa yang nak dikatakan lagi hanya TAHNIAH dan BERBANGA lah kepada yang mengundi PH. Akan jadi rakyat palastin lah tak lam lagi. kalau tidak zaman anak2 kita munkin zaman cucu cicit kita nanti. Itu yang pengundi2 yang memangkah PH mahukan. Horea…..BRAVO bangsa Melayu Lebral