KUALA LUMPUR – Shenzhen Kopitiam Asia Pacific Ltd (SZKAP), sebuah unit milik penuh tidak langsung OldTown Berhad, kini sedang disiasat oleh Biro Keselamatan Awam Cina kerana disyaki melakukan penipuan kontrak.

Pada Mei 2016, SZKAP memberikan hak kepada Jiangsu G & L Food & Beverage Management Co Ltd (G & L) untuk mengendalikan OldTown White Coffee di wilayah Jiangsu, dengan menggunakan tanda dagangan “OldTown” dan mengembangkannya menjadi perniagaan francais.

“Kami sangat terkejut apabila Ai Chang Investment Limited pada April 2018 melaporkan berlaku isu pelanggaran tanda niaga.

“Ai Chang melaporkan kepada AIC tempatan (Pentadbiran Industri dan Perdagangan) bahawa mereka adalah pemilik tanda dagang sebenar di China.

“Akibatnya, kami terpaksa menutup semua kedai OldTown White Coffee dan ini telah menyebabkan kerosakan yang besar kepada syarikat kami,” kata Yu Yu, Ketua Pegawai Operasi Jiangsu G & L..

Hak francais juga diberikan kepada Xiamen Kuaike Investment Management Co Ltd, syarikat China yang lain di FuJian pada bulan Mac 2017.

Sehingga kini, semua kedai OldTown White Coffee di China telah ditutup. – MalaysiaGazette