PUTRAJAYA – Fakta serta dakwaan-dakwaan yang terkandung dalam akuan bersumpah (SD) oleh Azilah Hadri bukan sahaja sukar dipercayai malah kelihatan kelakar.

Dakwaan bekas ahli Unit Tindakan Khas PDRM yang sedang menanti hari-hari terakhir sebelum ke tali gantung setelah dijatuhkan hukuman membunuh model Mongolia, Altantuya Shaariibuu itu menyebabkan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah ketawa.

Dalam SD itu, Azilah mengaitkan anak guamnya, Datuk Seri Najib Razak yang ketika itu adalah Timbalan Perdana Menteri terlibat menyuruhnya membunuh Altantuya.

“Kelakar dan seolah-olah tidak boleh dipercayai langsung Najib sendiri memberitahu Azilah supaya bukan sahaja menangkap Altantuya tetapi juga membunuh model Mongolia itu.

“Malah bukan sahaja Najib memberitahu Azilah supaya membunuh Altantuya sebaliknya juga menunjukan cara-cara bagaimana untuk membunuh wanita itu. Saya bercakap seperti yang terkandung dalam SD Azilah.

“Seperti Datuk Najib memberi isyarat ‘potong leher’, ini sungguh kelakar dan hanya bahan lawak jenaka, bukan begitu? Dan kononnya tindakan itu dilakonkan balik oleh Razak Baginda kembali kepada Azilah.

“Ini adalah sesuatu yang mustahil seperti anda mendakwa pepatah Inggeris, cow jumping over the moon. Inilah tahap paling mengarut pernah saya tengok untuk mengenakan seseorang,” katanya ketika ditemui hari ini.

Muhammad Shafee juga menolak cadangan seorang pemberita bahawa dakwaan dalam SD itu sangat ‘kuat’ dan kukuh sebaliknya mengatakan ia tidak lebih daripada satu perancangan terancang untuk menyabitkan Najib bagi jenayah yang tidak pernah dilakukan oleh anak guamnya.

“Saya tidak setuju dakwaan dalam SD itu kuat dan kukuh. Kita hanya mahu pihak berkuasa menyiasat secara keseluruhan siapakah disebalik akuan bersumpah Azilah ini.

“Saya faham Azilah ini terdesak tetapi siapa di sebalik Azilah ini? Itu kita hendak tahu,” ujarnya.

Azilah yang juga berpangkat Cif Inspektor dalam SD pada 17 Oktober lepas membuat pengakuan mendakwa Najib mengarahkannya membunuh Altantuya pada tahun 2006.

Dakwa Azilah, Najib turut mengarahkannya melupuskan mayat wanita itu.

Azilah, 42, yang mengikrarkan kandungan SD itu di Penjara Kajang mendakwa arahan itu diberikan secara lisan ketika bertemu dengan Najib pada 17 Oktober 2006 di Pekan, Pahang.

Beliau turut mendakwa menerima arahan supaya mayat Altantuya perlu dihapuskan kerana mangsa didakwa seorang perisik asing yang boleh mengancam keselamatan negara.

Azilah juga mendakwa Najib telah memberitahunya supaya tidak mempercayai apa-apa yang dikatakan oleh Altantuya sambil melabel model wanita itu sebagai berbahaya untuk keselamatan negara selain memberi isyarat ‘potong kepala’ kepadanya. –MalaysiaGazette

Azilah dakwa Najib arah bunuh Altantuya

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

4 Komen

  1. memang kelakar. padahal najib lumpuh tak boleh angkat tangan. otak shafei pun lagi kelakar. besar dari kepala.

Comments are closed.