Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

KUALA LUMPUR – Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman terpaksa mendapatkan rawatan perubatan semasa di tengah berlangsung Sidang Kemuncak Belia Kuala Lumpur 2019 hari ini.

Beliau dibawa ke Pusat Perubatan Umum Malaya (PPUM) selepas mengadu sakit di bahagian perut, susulan pembedahan apendisitis yang dijalaninya pada 11 Dis lepas.

Terdahulu beliau melancarkan Sidang Kemuncak Belia Kuala Lumpur 2019 yang merupakan permulaan kepada Sidang Kemuncak Kuala Lumpur (Sidang Kemuncak KL) 2019 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, yang dijadualkan bermula esok sehingga Sabtu.

Syed Saddiq tidak menghadiri pesidangan meja bulat Pemimpin-pemimpin Muda Kerajaan yang dijadualkan untuk dirasmikan oleh beliau, di samping turut tidak dapat menghadiri sesi makan tengah hari bersama peserta.

Bernama kemudiannya difahamkan masalah kesihatan itu tidak terlalu membimbangkan dan beliau akan menghadiri majlis makan malam Pemimpin-pemimpin Muda Kerajaan di Atmosphere360 Revolving Restaurant, Menara KL, selepas melawat menara berkenaan petang ini.

Esok Menteri Belia dan Sukan itu akan membuat pembentangan mengenai Projek Khas Kepimpinan pada sebelah pagi.

Pada 11 Dis lepas, Kementerian Belia dan Sukan dalam satu kenyataan berkata pembedahan Syed Saddiq berjaya dan keadaannya stabil.- BERNAMA