INDUSTRI media khususnya surat khabar berbahasa Melayu semakin suram. Selepas Sinar Harian mengecilkan operasi dan Utusan Melayu mengisytiharkan dirinya gulung tikar, semalam kumpulan Media Prima Bhd (MPB) pula terjejas.
Sehingga kini dimaklumkan seramai 543 kakitangan NSTP terjejas dan tidak diketahui jumlah kakitangan stesen televisyen dan radio yang terlibat.
Maka cakap-cakap yang mengatakan jumlah 1,000 orang akan terjejas jika dicampur semuanya mungkin benar.
Justeru, Kelab Media Kelantan Darul Naim (KEMUDI) amat bersimpati dengan kesemua kakitangan yang terlibat. Kami amat bersedih dan berharap mereka tabah untuk menempuh kehidupan dengan cabaran yang baharu. Kami sebagai kelab yang kecil akan cuba membantu sedaya yang mampu.
Pengecilan atau penguncupan industri media memberikan banyak kesan yang tidak disedari.
Pertama, kesan terhadap pekerja tersebut. Mereka hilang mata pencarian. Dalam kes MPB, mereka ada sedikit kelebihan berbanding bekas kakitangan Utusan, kerana mereka mendapat pampasan dan tiada gaji tertunggak.
Kakitangan Utusan diberhentikan secara ‘kejam’, elaun tertunggak berbulan-bulan dan gaji tertunggak dua bulan. Sinar Harian diberhentikan secara ‘halus’ dengan ditukarkan ke ibu kota atau lokasi baharu yang jauh dari keluarga.
Pada ketika ini, untuk mencari pekerjaan baharu bukan satu perkara yang mudah. Ramai sedar keadaan sekarang. Akhirnya menjadi pemandu Grab dan penghantar makanan Food Panda. Dan peritlah seisi keluarga untuk menghadapi kehidupan seterusnya.
Kedua, negara ini bakal berhadapan dengan masalah yang besar. Maklumat yang mengalir dengan deras bukan dari sumber yang berkredibiliti, sukar untuk rakyat menilai mana yang hak, mana yang batil.
Rakyat harus mempunyai nilai tapisan diri yang tinggi bagi menyaring setiap maklumat yang mereka peroleh. Maklumat paling cepat mengalir melalui aplikasi WhatsApp. Undang-undang yang sedia ada pula tidak dikuatkuasa dengan tepat, apatah lagi Akta Anti Berita Palsu yang dimansuhkan.
Ketiga, kawalan kerajaan terhadap media arus perdana. Kerajaan telah mengambil alih syarikat konglomerat media, Media Prima Bhd dan secara senyap ‘membunuh’ Utusan Malaysia.
Laporan media arus perdana hari ini kebanyakannya tidak masuk akal sama seperti zaman Barisan Nasional (BN) dahulu, semata-mata untuk mempertahankan kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Sebagai contoh, menjadikan akuan bersumpah (SD) Azilah bahawa Datuk Seri Najib Tun Razak mengarahkannya membunuh Altantuya, sedangakan SD itu banyak kelompongan yang boleh dipertikaikan. SD itu telah mengurangkan nilai berita dan tidak wajar diletakkan di muka depan, memadai diletakkan di halaman dalam. Apakah masih ada ‘wahyu’?
Justeru, mana janji kebebasan media? Kerajaan hari ini tidak belajar daripada kesilapan BN.
Selepas Pilihan Raya Umum Ke-14, Utusan Malaysia telah membebaskan diri daripada kongkongan. Laporannya lebih sederhana walaupun dimiliki pembangkang. Kritikannya terhadap kerajaan adalah perkara biasa. Namun kerajaan memberikan tekanan kepada Utusan Malaysia.
Utusan Malaysia dihalang daripada diedarkan ke sekolah-sekolah. Kementerian tidak dibenarkan mengiklan dalam Utusan Malaysia. Semua ini menyebabkan Utusan terus merosot dan pelan rasionalisasi dikemukakan oleh lembaga pengarah dengan mengisytiharkan diri ‘muflis’.
Mungkin semua lupa, Utusan tidak lekang daripada mengkritik kerajaan. Sebagai contoh, (Datuk Seri) Dr. Mohamad Khir Toyo tumbang di Selangor selepas Utusan Malaysia menyiarkan laporan mengenai kerakusan Bukit Cerakah dan penyerahan penyapu kepada salah seorang pegawai tinggi kerajaan kerana kegagalannya mencapai KPI yang ditetapkan.
Keempat, kualiti pemberitaan. Seorang wartawan kini dibebankan dengan pelbagai tugas. Mereka bukan hanya menulis tetapi juga perlu membuat pelbagai tugas sampingan disebabkan jumlah wartawan yang semakin berkurangan.
Sebagai contoh, seorang wartawan perlu melakukan lima tugas – tweet; berita untuk portal; gambar; video dan berita yang lengkap – dalam tempoh dua jam sebaik sahaja satu program berakhir. Itu tidak termasuk kadang kala diarahkan supaya membuat tugasan pemasaran.
Kelima, suara orang Melayu semakin berkurangan. Kenyataan ini nampak macam rasis, tetapi itulah hakikatnya. Sehingga hari ini rasionalisasi banyak melibatkan akhbar Melayu. Ini menyebabkan suara Melayu untuk membentuk pemikiran masa sudah tidak kuat. Media sosial seperti facebook berpengaruh, tetapi tidak terlalu kuat untuk membentuk pemikiran massa.
Namun pada masa sama, akhbar Cina masih terus bertahan. Sehingga kini tidak kedengaran akhbar tersebut akan mengecilkan jumlah kakitangan mereka. Mungkin ini terjadi disebabkan pengurusan akhbar Cina lebih cekap daripada akhbar Melayu.
Kesimpulan, banyak faktor yang menyebabkan perkara ini namun kerajaan harus memainkan peranan menyelamatkan media arus perdana bagi memastikan maklumat yang disalurkan kepada rakyat berkredilibiti.
Facebook atau kenyataan media sahaja tidak memadai. Negara masih memerlukan media arus perdana.
Industri media akan terus suram sekiranya kerajaan terus lepas tangan.
**Penulis Azran Fitri Rahim adalah Presiden Kemudi dan bekas Ketua Biro Utusan Kelantan.