Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menasihati orang awam yang berurusan dengan agensi itu supaya menyelesaikan segera segala urus niaga berkaitan pendaftaran nombor khas kenderaan mereka sebelum 31 Disember 2019.

Dalam kenyataan terbaharu pagi ini Ibu pejabat JPJ berkata, pihaknya tidak akan membenarkan orang ramai terlibat dalam sebarang pendaftaran atau penjualan nombor khas itu selepas tarikh yang dimuktamadkan itu.

Menurut JPJ, langkah itu diambil bagi mengelakkan daripada berlaku sebarang masalah apabila proses pendaftaran berlangsung.

Senarai 30 jenis nombor pendaftaran khas kenderaan yang diluluskan oleh JPJ sejak 2010.-Sumber Ibu Pejabat JPJ Putrajaya.

 

“JPJ mengingatkan orang ramai bahawa tempoh penjualan dan pendaftaran bagi nombor pendaftaran khas akan berakhir pada 31 Disember 2019 dan tiada sebarang penjualan dan pendaftaran yang akan dibenarkan selepas tarikh tersebut.

“Seperti yang semua sedia maklum, sejak tahun 2010, JPJ telah meluluskan nombor pendaftaran khas kepada beberapa persatuan, Yayasan, syarikat, badan berkebajikan dan agensi kerajaan dan mereka telah diberikan tempoh yang secukupnya untuk menjual dan mengurusan nombor pendaftaran khas ini,” kata kenyataan itu lagi.

Kenyataan media JPJ Putrajaya untuk siaran segera bertarikh 19 Disember mengingatkan tarikh akhir urusniaga penjualan dan pendaftaran nombor khas kenderaan oleh orang awam. sehingga 31 Disember 2019 sahaja. Sumber: Ibu Pejabat JPJ Putrajaya

JPJ dalam jadual senarai nombor pendaftaran khas yang dikongsikan kepada media menunjukkan sebanyak 30 jenis nombor pendaftaran khas kenderaan telah diluluskan JPJ KL, Sabah dan Sarawak dan Pahang.

Antara nombor pendaftaran khas itu ialah,US 1-1000, SMS 1-9999, NAAM 1-9999, SAM 1-9999, T1M 1-1000, G1-9999, Y1-9999, U1-9999, YA 1-9999, YC 1-9999, X 1-9999, Q 1-9999 dan IQ 1-9999. – MalaysiaGazette