KUALA LUMPUR – Pelawak dan pengacara terkenal, Zizan Razak kini sedang dirawat di sebuah hospital swasta di ibu negara selepas dijangkiti virus Influenza A.
Zizan, 35, yang juga pelakon memaklumkan perkembangan kesihatannya itu di akaun Instagram peribadinya hari ini dengan memuat naik sekeping gambar dia sedang terbaring di hospital.
Menurutnya, ketika ini, dia sedang menerima rawatan dan berada di bawah pemantauan doktor.
“Kini Zizan masih lagi dalam rawatan dan pemantauan pihak hospital kerana terkena virus Influenza A,
“Yang cuma satu A dan bukan 9A sepertimana keputusan peperiksaan SPM,” jelas Zizan sambil berseloroh kepada pengikutnya di Instagram.
Pada masa sama, Zizan turut menasihati orang ramai agar lebih berwaspada jika menjalankan aktiviti luar.
“Jadi nasihat Zizan pada semua berhati hatilah bila ke tempat awam. Pakailah topeng atau apa saja untuk mengelak dari terkena apa apa jangkitan yang datang dari udara yang kita tidak Nampak,” tambahnya lagi.
Pemegang watak utama filem Polis Evo 3 ini turut menyedari ketika ini, ramai yang senasib dengannya dijangkiti virus berkenaan.
Dia kini sedang menjalani penggambaran filem utama 3 dan terus sibuk dengan jadual kerja sehingga tahun depan.
Sementara itu, Zizan memohon supaya orang ramai mendoakan agar beliau cepat sembuh dan sempat berterima kasih kepada kenalan yang telah menziarahinya di hospital.
Filem Polis Evo 3 arahan Syafiq Yusof yang bakal ditayangkan tidak lama lagi menampilkan banyak waak baharu.
Selain Zizan, Shaheizy Sam dan Nora Danish, Polis Evo 3 juga dibintangi oleh Syafiq Kyle, Fauzi Nawawi, Eyka Farhana, Farali Khan dan ramai lagi.
Untuk rekod, filem Polis Evo 2 yang ditayangkan pada tahun lalu mendapat kutipan pecah panggung lebih RM20 juta berbanding filemnya yang pertama yang hanya meraih kutipan sebanyak RM17.8 juta pada 2015. – MalaysiaGazette