Pesuruhjaya PAS Kedah, Ahmad Yahaya

KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa agar menjelaskan tentang aplikasi Sugarbook sama ada ia bertepatan dengan agama dan slogan Rahmatan Lil-Alamin.

Pesuruhjaya Pas Kedah, Ahmad Yahaya mendakwa, golongan korporat kapitalis boleh mengandaikan apa sahaja kerana bagi mereka semuanya berdasarkan keuntungan material semata-mata dan bukan soal halal haram.

Katanya, meskipun pemilik perniagaan berkenaan di dalam kenyataan balasnya menjelaskan aplikasi tersebut bukan untuk pelacuran tetapi lebih kepada konsep bertemu jodoh namun ia bukan isu tidak mahu memanfaatkan kemajuan teknologi sebaliknya, apakah isi kandungan melibatkan pencapaian sesuatu kemajuan teknologi itu.

“Jika dulu aktiviti menempah ini dilakukan secara bersembunyi dan di premis-premis tertutup sahaja, kini lebih terbuka dan mudah di hujung jari,” katanya menerusi kenyataan.

Justeru katanya, Pas Kedah memandang perkara tersebut sebagai perkara baru yang besar dalam usaha memperkayakan golongan kapitalis tetapi dalam masa sama menjerumuskan nilai-nilai agama dan adat bangsa.

“Janganlah menunggu sudah terantuk baru nak tengadah, cegah sebelum berlaku dan menyesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya,” ujarnya. – MalaysiaGazette