Sebanyak 1.6 juta kenderaan akan menggunakan Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) menjelang perayaan Tahun Baru Cina tidak lama lagi.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – PLUS Malaysia Berhad (PLUS) akan menutup semua lorong tambah nilai di plaza tol masuk seliaannya mulai esok hingga 2 Januari 2020 bagi membantu melancarkan lagi pergerakan trafik pada cuti perayaan Krismas dan tahun baru.

Penutupan lorong tambah nilai sepertimana dilaksanakan pada setiap musim perayaan bertujuan untuk mengurangkan kesesakan yang disebabkan oleh pelanggan beratur di lorong tambah nilai di plaza tol.

Sehubungan itu, bagi memastikan perjalanan yang lebih selesa, PLUS menasihatkan agar pelanggan merancang perjalanan mereka dan paling utama, menambah nilai kad Touch ‘n Go mereka lebih awal selain memastikan kad mereka mempunyai baki yang mencukupi.” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada musim perayaan ini, PLUS menjangka peningkatan jumlah trafik sebanyak 18 peratus kepada 2 juta kenderaan berbanding 1.7 juta kenderaan pada hari-hari biasa.

Oleh itu, perjalanan di plaza tol dijangka terjejas sekiranya masih terdapat pelanggan yang terkandas dan tidak dapat membuat transaksi tol apabila baki pada kad Touch ‘n Go mereka tidak mencukupi. Apabila ini berlaku, ia sudah pasti mengganggu keselesaan dan perjalanan pelanggan yang lain.

PLUS juga tidak menyediakan perkhidmatan tambah nilai di lorong keluar di plaza tol.

Namun begitu, terdapat kira-kira 11,000 pusat menambah nilai kad Touch ‘n Go di seluruh negara yang merangkumi mesin ATM, R&R, stesen minyak, kedai serbaneka, pasaraya dan lain-lain lagi.

Pada masa yang sama, PLUS juga ingin memaklumkan bahawa pelanggan lebuhraya PLUS masih belum boleh menggunakan perkhidmatan e-Wallet PayDirect pada ketika ini.

Oleh yang demikian, mereka dinasihatkan supaya menambah nilai kad Touch ‘n Go mereka dan menggunakannya untuk semua transaksi tol di lebuhraya seliaan PLUS.- MalaysiaGazette