Fenomena gerhana matahari Anulus (cincin) berlaku di Malaysia selepas 21 tahun. - foto AFFAN FAUZI, 26 DISEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Selepas kali terakhir akhir fenomena gerhana matahari Anulus (cincin) berlaku di Malaysia pada 21 tahun lepas, rakyat negara ini hari ini berpeluang menyaksikan keajaiban alam yang unik dengan jelas, khususnya di dua tempat – di Tanjung Piai, Johor dan Serian, Sarawak.

Kejadian gerhana matahari Anulus itu, yang jarang-jarang berlaku di Malaysia dan kali terakhir dilihat pada 22 Ogos 1998, di Mersing, Johor, menarik perhatian orang ramai yang mengambil kesempatan untuk menyaksikan fenomena alam itu.

Tempoh gerhana berlaku bermula pukul 1.21 hingga 1.23 tengah hari di Tanjung Piai, manakala di Serian, fenomena astronomi itu berlaku dalam tempoh kira-kira empat minit bermula 1.46 hingga 1.50 tengah hari.

Gerhana Matahari Anulus berlaku apabila bulan bergerak tepat di hadapan matahari, tetapi disebabkan pada ketika itu, bulan berada agak jauh daripada bumi, maka saiznya sedikit kecil dan tidak akan dapat menutupi keseluruhan bentuk piring matahari.

Seluruh negara dipercayai mengalami fenomena gerhana matahari separa yang bermula kira-kira pukul 11 pagi sehingga 4 petang.

Di Taman Negara Tanjung Piai, Johor, kira-kira 5,000 pengunjung menyaksikan peristiwa gerhana matahari anulus, selama dua minit.

Pengarah Planetarium Negara Anita Bahari berkata kira-kira 120 teleskop disediakan pelbagai persatuan pengkaji astronomi, serta beberapa universiti awam untuk digunakan orang ramai, selain beberapa yang digunakan untuk kajian.

Selain itu, kira-kira 6,000 kaca mata khas untuk melihat gerhana matahari anulus itu, disediakan dan diedarkan secara percuma kepada orang ramai, yang mahu melihat fenomena itu.

Pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) (dari, kiri) Aya Khalaf, 32, Haifa Nordin, 20, dan Lin Huiling, 23, melihat fenomena Gerhana Matahari Separa menggunakan teleskop dan cermin mata matahari di USM hari ini.

Fenomena gerhana matahari itu, dijangka berulang lagi di Malaysia pada 2042.

Turut mencuri perhatian orang ramai adalah kehadiran “ikon astronomi” Profesor Emeritus Datuk Dr Mazlan Othman, pakar astrofizik negara, yang sebelum itu mengadakan sesi khas bual bicara ‘Gerhana Matahari Anulus’ dan bersama-sama menyaksikan fenomena itu.

Kehadiran beliau menarik perhatian orang ramai sehingga tidak putus putus menerima permintaan berswafoto dan mengabadikan detik bersama-sama merakam peristiwa itu.

Di Serian, Sarawak, pengunjung terutamanya penduduk setempat, menjadi saksi berlakunya fenomena gerhana matahari Anulus, yang berlaku selama empat minit bermula pada 1.46 tengah hari di Dataran Piazza di sini, kira-kira 60 kilometer dari Kuching.

Kehadiran lebih 1,000 pengunjung di sini, yang tidak ingin melepaskan peluang untuk menyaksikan sendiri fenomena alam itu, nyata berbaloi apabila mereka menikmati setiap minit kejadian, yang akan muncul semula selepas dua dekad dari tarikh hari ini.

Seorang lelaki cuba menegakkan telur ekoran tarikan graviti berikutan fenomena Gerhana Matahari Anulus ketika tinjauan di perkarangan Wisma Persekutuan Kuala Terengganu hari ini.

Kebanyakannya menikmati pemandangan menakjubkan itu menggunakan penuras khas (kaca mata khusus untuk melihat Gerhana Matahari) yang disediakan oleh pihak penganjur, Planetarium Negara yang menyediakan sebanyak 2,000 unit.

Ada juga yang datang dengan membawa teleskop peribadi, kerana minat yang mendalam mengenai astronomi.

Di ibu negara, orang ramai menyaksikan fenomena gerhana matahari Anulus secara separa penuh di pekarangan Planetarium Negara yang menganjurkan ‘Solarfest Malaysia 2019’, sejak Selasa.

Pegawai Sains Planetarium Negara yang juga penyelaras bagi program itu, Nurfazilah Mohamad Hanafiah berkata lebih 1,000 orang memenuhi pekarangan Planetarium Negara hari ini.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast