KLANG – Kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang berjaya menaikkan ikan kerapu harimau seberat 3.3 kilogram (kg) diisytiharkan sebagai pemenang utama Cabaran Memancing Bersama Media TBN-PTPTN 2019 di Kampung Delek di sini hari ini.
Kejayaan itu membolehkan Mohd. Nur Akran Jamalauddin membawa pulang wang tunai RM1,000 serta Sijil Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) bernilai RM1,000 selepas menewaskan pemenang tempat kedua dengan perbezaan 0.65 gram.
Mohd. Haniff Salim dari Berita Harian yang menaikkan ikan siakap seberat 2.65 kg pula diumumkan memenangi tempat kedua dengan hadiah wang tunai RM500, SSPN bernilai RM750 dan cenderahati.
Sementara itu, wakil akhbar Tamil Makkal Osai, Navven Shangkar yang menaikkan ikan kaci seberat 1.95kg memenangi tempat ketiga dan menerima wang tunai RM200, SSPN bernilai RM500 serta cenderahati.
Hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Pengurus Besar (Hal Ehwal Korporat) TNB, Datuk Omar Sidek.
Sebelum itu, pertandingan yang julung kali diadakan itu dirasmikan serta dimulakan oleh Timbalan Ketua Eksekutif (Dasar dan Operasi) PTPTN, Mastura Mohd Khalid dan Ketua Pegawai Eksekutif MalaysiaGazette, Noraini Razak.
Program memancing bersama media itu merupakan kerjasama media dan TNB buat pertama kali selepas program program perlawanan bola sepak dan boling sebelum ini.
Tujuan pertandingan diadakan bagi mengeratkan silaturahim sesama wakil media terutama mereka yang berkongsi minat yang sama.
Program turut diserikan dengan acara cabutan bertuah yang menawarkan dua set televisyen pintar 40 inci.
Selain TNB dan PTPTN sebagai penaja utama, rakan penaja lain yang turut terlibat adalah Bernas, Adabi, Milo, MSM, Bank Islam & Sherwanis Food Industries. – MalaysiaGazette