Trafik perlahan dari Plaza Gombak ke Bukit Tinggi dan Plaza Tol Bentong ke susur Bentong Barat.

KUALA LUMPUR – Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) sudah bersedia sepenuhnya untuk melaksanakan kutipan tol menggunakan teknologi RFID di Plaza Tol Gombak dan Plaza Tol Bentong mulai 1 Januari 2020.

Pengendali Lebuhraya KLK, ANIH Berhad menjangka kira-kira 10,000 transaksi RFID sehari bakal direkodkan di dua plaza tol berkenaan pada tahun pertama pelancarannya berbanding 5,000 transaksi RFID sehari yang dicapai dalam tempoh percubaan bagi pelaksanaan projek perintis sistem berkenaan.

Pengarah Eksekutifnya, Datuk Nik Fauzi Nik Hussein berkata, persediaan rapi telah dibuat sejak awal lagi untuk memastikan laluan yang dilengkapi mod bayaran RFID di Plaza Tol Gombak dan Plaza Tol Bentong.

“Pelaksanaan kutipan tol menerusi mod RFID di Plaza Tol Gombak dan Plaza Tol Bentong ini selaras dengan sokongan kami ke arah pelaksanaan Sistem Kutipan Tol Tanpa Henti (MLFF) di lebuh raya ke arah meningkatkan kualiti khidmat bayaran tol untuk pengguna di masa hadapan,” katanya dalam satu kenyataan media.

Bermula 1 Januari ini, kaedah pembayaran tol menerusi mod RFID hanya ditawarkan di 62 buah plaza tol di lebuh raya utama negara yang menggunakan kaedah sistem tol terbuka.

Plaza Tol Gombak dan Plaza Tol Bentong, Lebuhraya KLK adalah satu daripadanya.

Sebagai permulaan, mod pembayaran terbaharu ini akan ditawarkan hanya kepada Kenderaan Kelas 1 sebelum ia dijangka diperluaskan kepada kategori lain sebelum akhir tahun 2020.

Kutipan tol menerusi RFID di Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT 1), iaitu sebuah lagi lebuh raya kendalian ANIH Berhad yang menggunakan kaedah sistem tol tertutup pula dijangka dilaksanakan pada suku kedua 2020.

RFID akan menjadi kaedah baharu pembayaran tol secara elektronik di Plaza Tol Gombak dan Plaza Tol Bentong di samping mod pembayaran sedia ada iaitu menerusi kad Touch n Go (TNG) dan SmartTAG bagi memberi kemudahan yang lebih baik kepada para pengguna lebuh raya.

Ia menggunakan pelekat RFID yang mempunyai chip frekuensi radio khas dan dipasang sama ada pada cermin depan atau bahagian lampu utama kenderaan, dan setiap satunya hanya khusus untuk kegunaan satu kenderaan.

Ketika melalui tol, pengimbas akan membaca frekuensi radio dari pelekat RFID berkenaan untuk mengenakan bayaran tol serta mengangkat palang.

Pelekat berkenaan akan dihubungkan terus kepada aplikasi TNG eWallet yang bertindak sebagai penyimpan nilai semasa wang pengguna bagi tujuan bayaran tol. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast