Mohamed Azmin Ali

KUALA LUMPUR – Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 akan menjadi tunjang kepada usaha membangun ekonomi untuk lebih dinamik dan mampan.

Pelaksanaan wawasan ini pada 5 Oktober lalu bukan sahaja akan memperkukuhkan pertumbuhan dan kemakmuran, bahkan akan merapatkan jurang dan kesenjangan ekonomi antara kumpulan pendapatan, etnik, wilayah dan rantaian nilai.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kita perlu insaf bahawa iltizam melaksanakan agenda penstrukuran semula ekonomi negara ke arah bernilai tinggi demi mengangkat kesejahteraan rakyat memerlukan penglibatan dan komitmen semua rakyat.

Dalam perutusan Tahun Baru 2020, Azmin berkata, tahun depan membawa cabaran pelbagai dimensi – politik, ekonomi dan sosial.

Semakin jelas kita menyaksikan terhakisnya keteraturan dunia (global order) yang dibentuk selepas Perang Dunia Kedua. Amerika Syarikat yang memainkan peranan utama dalam membentuk keteraturan tersebut tidak lagi berada di tangga teratas sebagai kuasa ekonomi. Diukur dari Purchasing Power Parity (PPP), kedudukan tersebut telah pun diambil oleh China.

Dekad baharu ini juga akan menyaksikan ekonomi-ekonomi Asia seperti China, India, ASEAN, Jepun dan Korea mengambil alih ekonomi dunia dari Amerika dan Eropah, katanya.

Untuk menghadapi cabaran yang dibawa oleh perubahan raksasa ini kita perlu beranjak dari fikiran lama yang berkiblat kepada Amerika Syarikat dan Eropah. Kita memerlukan imaginasi baharu.

“Kita mesti mempunyai keberanian berfikir secara besar,” ujar Azmin.

Menurut beliau, Tun Dr. Mahathir Mohamad telah memulakan anjakan pemikiran ini dengan menganjurkan Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 baru-baru ini yang membuka ruang kepada kerjasama strategik ekonomi dan teknologi secara kolektif antara negara-negara Islam dan ummah yang berjumlah 1.7 bilion.

“Kita perlu meneroka pelbagai kerjasama strategik di peringkat global untuk menangani kesan badai perang dagang antara China dan Amerika Syarikat. Perang dagang tersebut menunjukkan bagaimana Amerika sendiri telah mengabaikan salah satu aspek utama keteraturan dunia yang dianjurkan.

“Kerjasama strategik ini amat penting memandangkan Malaysia mengamalkan ekonomi terbuka. Namun begitu Malaysia perlu mengukuhkan asas-asas ekonomi domestik agar kita memiliki daya tahan sistemik,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast