Siti Zailah Mohd Yusoff
Siti Zailah Mohd Yusoff

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Rantau Panjang mendakwa Program Subsidi Petrol (PSP) tidak akan membantu rakyat sebaliknya memberi keuntungan kepada syarikat yang mendapat tender membangunkan sistemnya.

Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff mempertikaikan pemberian tender kepada GHL Systems Bhd yang juga mempengerusikan Great Eastern Takaful Berhad dalam masa yang sama syarikat itu merupakan pengendali Skim MySalam.

Ini kerana PSP yang merupakan salah satu manifesto Pakatan Harapan diusahakan tanpa kajian yang terperinci apatah lagi RM30 sebenarnya jelas tidak mencukupi, dakwanya.

“Malah, rakyat sudah sampai mempersoalkan sasaran sebenar PSP yang sekadar pemberian RM30 sebulan, sedangkan hakikat penggunaan berjurang lebih besar dari itu. Ia sememangnya akan tersasar apabila harga runcit berada di bawah RM2.08 seliter menerusi kaedah Mekanisme Harga Automatik untuk diapungkan ke harga tersebut. Persoalan lebih besar dari itu berkait ketelusan dan motif PSP.

“Apakah ianya benar-benar menguntungkan rakyat secara bersasar, sekali gus kerajaan? Atau sebenarnya tersasar apabila GHL Systems Bhd yang memenangi tender membangunkan sistem, dipengerusikan individu sama dari Great Eastern Takaful Berhad; pengendali Skim MySalam di bawah Kementerian Kewangan?” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Justeru Siti Zailah mempertikaikan motif PSP dilaksanakan turut memberi amaran kepada kerajaan agar tidak cuba mempermainkan rakyat.

“Pakatan Harapan diingat supaya tidak bermain silap mata, rakyat menunggu masa membongkarnya,” tambahnya.

PSP yang dijadual dilaksanakan pada Januari ini ditangguhkan.Menteri KPDNHEP Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kerajaan menangguhkannya ke satu masa yang akan ditentukan kelak selepas rakyat faham dan menerima program tersebut.

Mengulas lanjut Siti Zaliah yang juga Pengerusi Lajnah Pekerja dan Pengguna Pas Pusat berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna sepatutnya bekerjasama dengan para pegawai Perkhidmatan Awam dan untuk merangka pelaksanaan PSP secara sistematik.

Katanya lagi, program tersebut tidak perlu dilakukan dalam keadaan tergesa-gesa kerana akhirnya seperti hari ini, ia masih gagal dimulakan.

“Pengumuman itu juga menunjukkan kegopohan Kerajaan Pakatan Harapan akhirnya memakan diri. Ketika mekanisme pelaksanaannya masih kabur untuk diberi kepada golongan sasar, PH pula dilihat terlalu ghairah kononnya bagi merealisasikan Manifesto PH. Akibatnya tersasar, lalu impian golongan B40 dan M40 tidak ubah seperti cuba digula-gulakan sahaja. Kedatangan Tahun Baharu 2020 tidak menggembirakan, tapi dikecewakan.

“Sepatutnya pihak menteri bekerjasama dengan para Pegawai Perkhidmatan Awam bagi menyediakan rangka yang matang. Bukan secara ‘ad-hoc’ atau demi meraih kepentingan politik,” katanya lagi.-MalaysiaGazette