Pasukan keselamatan mengawal ketat penjara Cieneguillas di tengah Mexico selepas pergaduhan berlaku dalam kalangan banduan. foto AP

MEXICO CITY – Sekurang-kurangnya 16 banduan terbunuh selepas rusuhan berlaku di penjara di tengah Mexico.

Lima lagi cedera dalam pertempuran di kemudahan penjara di bandar Cieneguillas, Zacatecas.

Rusuhan yang berlangsung selama kira-kira dua setengah jam itu menyaksikan para banduan bergaduh sesama sendiri dengan menggunakan pistol dan pisau.

Keganasan sering dilaporkan di penjara-penjara Mexico, yang kebanyakannya penuh sesak dan dikuasai oleh geng dadah.

Agensi keselamatan negara memaklumkan pergaduhan yang terjadi di Pusat Pengintegrasian Sosial Daerah Cieneguillas bermula sekitar 2.30 petang (20:30 GMT) pada hari Selasa dan berada dapat dikawal dua jam setengah selepas itu.

Seorang tahanan ditahan dengan senapang dan tiga pucuk pistol dan pisau yang ditemui di dalam penjara.

Menurut pihak berkuasa, 15 banduan itu maut di penjara dan seorang meninggal dunia di hospital.

Setiausaha keselamatan negeri Zacatecas Ismael Camberos Hernandez memberitahu pemberita bahawa beberapa mangsa mengalami luka tembakan, sementara yang lain ditikam atau dipukul dengan objek.

Tiada pengawal atau polis cedera dalam rusuhan itu.

Setakat ini punca-punca kejadian tersebut belum diketahui dengan jelas.

Tetapi kerajaan negeri mengatakan ia telah melancarkan siasatan untuk mengetahui siapa yang bertanggungjawab dan bagaimana senjata dibawa masuk ke dalam penjara. – MalaysiaGazette