Pelabuhan Bintulu

KUALA LUMPUR – Jumlah perdagangan negara pada bulan November menguncup 4.6% atau RM7.5 bilion kepada berjumlah RM155.1 bilion.

Ia juga mencatatkan penurunan sebanyak RM8.8 bilion (-5.4%) berbanding Oktober 2019.

Lebihan dagangan yang bernilai RM6.5 bilion, merosot RM2.0 bilion (-23.1%) berbanding setahun yang lalu, selain mencatatkan penurunan sebanyak RM10.8 bilion atau 62.3% berbanding bulan sebelumnya.

Ketua Perangkawan, Datuk Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, berasaskan tahun ke tahun, eksport menurun 5.5% kepada RM80.8 bilion.

Produk-produk utama yang menyebabkan kejatuhan adalah elektrik dan elektronik sebanyak 34.1%, susut RM3.6 bilion (-11.6%) kepada RM27.6 bilion, gas asli cecair, yang menyumbang 4.0% daripada jumlah eksport merosot RM1.8 bilion kepada RM3.2 bilion berikutan pengurangan dalam kedua-dua nilai purata seunit (-24.1%) dan volum eksport (-15.6%).

Keluaran petroleum bertapis menurun RM1.2 bilion atau 19.0% kepada RM5.3 bilion berikutan pengurangan dalam kedua-dua nilai purata seunit (-15.4%) dan volum eksport (-4.3%); petroleum mentah jatuh RM669.0 juta atau 23.4% kepada RM2.2 bilion.

Minyak kelapa sawit dan hasil keluaran berasaskan minyak kelapa sawit (6.7% daripada jumlah eksport), merosot RM144.2 juta (-2.6%) kepada RM5.4 bilion.

Walau bagaimanapun, eksport minyak sawit, komoditi utama dalam kumpulan produk ini meningkat sedikit RM34.1 juta atau 1.1% disebabkan oleh kenaikan dalam volum eksport (+ 2.1%), getah asli (0.3% daripada jumlah eksport) menurun RM32.3 juta kepada RM272.5 juta.

Namun, katanya, eksport kayu dan hasil keluaran kayu, yang menyumbang 2.5% daripada jumlah eksport meningkat RM53.7 juta atau 2.7%.

Berasaskan tahun ke tahun, import merosot RM2.8 bilion atau 3.6% kepada RM74.3 bilion disebabkan oleh barangan modal.

Menurutnya, import barangan modal, yang menyumbang 13.2% daripada jumlah import, menyusut RM443.2 juta (-4.3%) kepada RM9.8 bilion disebabkan oleh penyusutan dalam kedua-dua kelengkapan pengangkutan, perindustrian(-RM289.8 juta, -21.1%) dan barangan modal (kecuali alat kelengkapan pengangkutan) (-RM153.4 juta, -1.7%).

Sementara import barangan penggunaan yang mencakupi 9.1% daripada jumlah import mencatatkan peningkatan sebanyak RM125.9 juta (+1.9%) kepada RM6.8 bilion.

Pertumbuhan ini terutamanya disebabkan oleh makanan & minuman, utama, khusus untuk kegunaan isi rumah (+RM144.0 juta, +18.7%), dan barangan tidak tahan lama (+RM82.0 juta, +5.0%).

Tetapi, import barangan tahan lama menurun RM97.5 juta atau 9.6%.

Barangan Perantaraan yang merangkumi 55.2% daripada jumlah import meningkat RM727.1 juta (+1.8%) kepada RM41.0 bilion.

Pertumbuhan ini terutamanya disumbangkan oleh alat ganti & aksesori barang modal (kecuali alat kelengkapan pengangkutan) (+RM1.7 bilion, +14.2%), dan bekalan industri, utama (+RM947.5 juta, +44.2%).

Walau bagaimanapun, bahan api & pelincir, diproses, lain-lain dan bahan api & pelincir, utama menurun masing-masing RM947.0 juta (-36.9%) dan RM629.7 juta (-26.3%). – MalaysiaGazette