KUALA LUMPUR – Mahkamah Majistret sebentar tadi telah memerintahkan anak Menteri Pertahanan, Ahmad Saiful Islam Mohamad untuk membela diri bagi tuduhan penyalahgunaan dadah di sebuah hotel terkemuka tahun lalu.
Majistret Mohamad Aizat Abdul Rahim membacakan keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan wujudnya kes prima facie terhadap anak lelaki Mohamad Sabu atau Mat Sabu.
Mohamad Aizat membuat keputusan itu selepas meneliti hujah dan keterangan enam saksi dalam kes ini.
“Setelah teliti dan pertimbang keterangan serta hujahan, mahkamah telah memutuskan pasukan pendakwaan berjaya membuktikan wujudnya prima facie dan tertuduh diperintah untuk membela diri.
“Oleh yang demikian, mahkamah menetapkan 13 Februari ini untuk perbicaraan bela diri,” katanya hari ini.
Sebelum ini pada13 Jun lalu, Ahmad Saiful mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret atas dakwaan menggunakan dadah THC, di Hotel W, di sini, pada jam 2.05 pagi, 5 Januari 2019.
Prosiding perbicaraan yang bermula 15 Oktober 2019, Timbalan Pendakwa Raya, Nur Fatin Mohamad Farid memanggil seramai enam saksi bagi memberi keterangan.
Dia didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya.
Pada 6 Januari 2019, Ahmad Saiful dan seorang lagi rakannya ditahan selepas didapati positif dadah di sebuah pusat hiburan di tingkat 12 sebuah hotel di Jalan Ampang di Kuala Lumpur.
Baca: Setiausaha politik sahkan anak Mohamad Sabu ditahan
Baca: Anak saya juga tertakluk kepada undang-undang – Mat Sabu
Anak ketiga Mohamad itu ditahan dalam Ops Pusat Hiburan Bersepadu oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, pada 12.30 tengah malam.
Mat Sabu pula sebelum ini beberapa kali ketika diasak media telah mendedahkan dirinya tidak banyak ulasan berhubung perkara tersebut sebaliknya berkata anaknya sama seperti anak orang lain yang tertakluk kepada proses undang-undang negara. –MalaysiaGazette