Dr. Afif Bahardin

KUALA LUMPUR – Sebanyak 70 peratus daripada rakyat di negara ini tidak memberi perhatian khusus kepada isu peralihan kuasa malah mereka tidak peduli bilakah tarikh akan berlakunya perubahan pucuk kepemimpinan negara.

Dapatan itu adalah hasil kajian KRA Group yang dijalankan pada November tahun lalu, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya Dr. Afif Bahrdin.

Menurut beliau, rakyat lebih memberi perhatian kepada isu berkaitan kos sara hidup dan 2020 merupakan tahun yang sempurna untuk Pakatan Harapan menunaikan hasrat serta impian seluruh rakyat Malaysia.

Beliau  menarik perhatian gesaan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Akmal Nasir Nasrullah supaya Sekretariat Pakatan Harapan (PH) memastikan Majlis Presiden gabungan itu menetapkan Mei tahun ini tarikh peralihan jawatan perdana menteri dari Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Turut senada dengan Akmal adalah Ketua Setiausaha Pengelola PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Baca: PH mesti tunai manifesto dan kekalkan peralihan PM Mei 2020 – Nik Nazmi

Baca: Majlis Presiden PH perlu segera tetapkan tarikh peralihan kuasa

“Saya menerima maklum kenyataan media oleh Saudara Akmal Nasir dan Saudara Nik Nazmi selaku antara figura anak muda yang memacu kemenangan KEADILAN dan Pakatan Harapan pada Mei 2018.

“Mengambil saranan dan kenyataan oleh YB Ketua Setiausaha Sekretariat Pakatan Harapan, saya berharap agar semua pemimpin parti komponen Pakatan Harapan khususnya pemimpin-pemimpin KEADILAN segera bermuhasabah diri dan meletakkan tahun 2020 sebagai tahun yang terbaik untuk Pakatan Harapan kembali fokus menunaikan janji-janji yang masih belum berjaya ditunaikan dan dilaksanakan.

“Bukan sahaja para pimpinan Pakatan Harapan, malah seluruh rakyat Malaysia telah mengetahui bahawa peralihan kuasa akan berlaku pada masa, lokasi dan keadaan politik yang tepat dan stabil untuk Dato’ Seri Presiden KEADILAN menerajui negara ini” katanya.

Dr Afif yang juga Timbalan Ketua Cabang PKR Permatang Pauh berkata, Dr Mahathir  telah berulang kali telah menyatakan bahawa isu peralihan kuasa kekal terjamin dan akan dilaksanakan setelah kestabilan politik dan negara ini tercapai.

Beliau berharap semua pimpinan PH dapat memperbaharui iltizam, niat dan azam tahun baharu 2020 sebagai tahun yang terbaik untuk Pakatan Harapan bekerja keras dalam membela dan memperjuangkan nasib rakyat melalui agenda Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

Dr Afif sehubungan dengan itu menggesa semua pihak supaya segera menghentikan permainan politik yang sama sekali tidak akan menguntungkan rakyat yang telah memberikan kepercayaan dan amanah bagi menunaikan harapan dan aspirasi mereka.  – MalaysiaGazette

 

2 Komen

  1. Saya seorang pesara siapa PM pun kita tak kesah asalkan kami terus terima pencen. Jangan ‘pinjam’ tabungan pencen kami buat tikam ekor sudah lah.

Comments are closed.