Nik Nazmi Nik Ahmad

KUALA LUMPUR – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) perlu kembali kepada manifesto yang dijanjikan rakyat ketika Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan mengekalkan peralihan jawatan perdana menteri pada Mei 2020.

Ketua Setiausaha Pengelola PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, ini sesuatu yang perlu dilakukan demi kebaikan negara berikutan 2019 merupakan tahun mencabar dari pelbagai sudut bagi Malaysia.

“Majlis Presiden PH harus secara jelas memberikan komitmen tarikh peralihan dari Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri ketujuh kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri kelapan pada Mei 2020 sebagaimana pernah dinyatakan kepada rakyat.

“Sama ada penduduk kawasan saya yang saya temui di pasar, penjawat awam di Putrajaya mahupun ahli perniagaan, mereka mahukan jawapan yang jelas dalam perkara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR itu, walaupun PH dapat membawa beberapa pencapaian luar biasa termasuk dasar ekonomi pro-rakyat, pembaharuan institusi berterusan dan mengurangkan usia pengundian kepada 18 tahun, hakikatnya mereka harus lebih ke hadapan dalam reformasi ekonomi.

Kata beliau, banyak perlu dilakukan bukan sahaja dari segi mewujudkan peluang pekerjaan dan menurunkan kos sara hidup, tetapi juga menjamin masa hadapan ekonomi negara.

Ini ujarnya, untuk memastikan pekerja dapat bersaing menghadapi perubahan teknologi yang berlaku dengan begitu pantas dan usaha segera bagi mengurangkan kesenjangan semakin meningkat dalam kalangan masyarakat.

“Perkara ini semakin membimbangkan, ia bukan sahaja berlaku antara kaum yang berbeza, tetapi juga dalam kalangan kaum yang sama,” katanya.

Nik Nazmi berkata, masalah itu akan menimbulkan kebangkitan politik identiti agama dan kaum melampau yang sedang berlaku sekarang seperti di beberapa negara di seluruh dunia.

Hakikatnya, Malaysia tidak boleh menjadi aman dan progresif tanpa keadilan sosioekonomi, dengan tahun 2020 ikonik mesti menjadi tahun pembaharuan untuk rakyat.

Beliau juga mahu PH meneruskan proses reformasi institusi dan memaksimumkan pemodenan ekonomi negara.

“Kita mendapat berita peletakan jawatan Dr. Maszlee Malik sebagai Menteri Pendidikan pada tahun baharu ini.

“Saya berterima kasih kepada Dr. Maszlee atas khidmatnya kepada negara. Saya yakin beliau akan terus berkhidmat kepada kawasannya di Simpang Renggam dan rakyat Malaysia umumnya dengan baik.

“Portfolio Kementerian Pendidikan bukan sesuatu yang mudah dan walaupun kami ada berbeza pandangan, hakikatnya Dr. Maszlee dapat mencapai perkara konkrit walaupun perlu menghadapi banyak cabaran,” katanya.

Ahli Parlimen Setiawangsa itu berkata, mahu tidak mahu, PH mesti berusaha untuk menyampaikan agendanya dengan berkesan kepada rakyat serta memperkasakan individu yang berada dalam kerajaan. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. YB Nik, sebelum sibuk nak tunaikan manifesto peralihan kuasa, tunaikan dulu penghapusan tol dan jangan cakap pasal caj kesesakan. Tunaikan pendidikan percuma, tiada lantikan politik dan hapus PTPTN. Tak boleh buat tu semua tak payah cakap janji DSAI jd PM8. Boleh dibakulsampahkan

Comments are closed.