N Surendran (kiri) dan Dr. Akmal Saleh

KUALA LUMPUR – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh mencadangkan supaya bekas Ahli Parlimen Padang Serai, N Surendran dihantar ke Thailand berikutan isu kegagalan rakyat Malaysia untuk bertutur bahasa rasmi di negara ini.

Dr. Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau berkata, Surendran perlu didedahkan bagaimana setiap rakyat di negeri jiran itu boleh bertutur dengan baik bahasa kebangsaan mereka.

“Kenapa perlu mengelabah? Ramai ke yang tidak boleh berbahasa Melayu? Ke selama inini puak-puak ini anggap bahasa Melayu bahasa yang boleh diperlekehkan?

“Tolong hantar dia ke Thailand dan tengok ada tak warganegara Thailand yang tidak boleh cakap bahasa Thai? Malulah macha,” kata Akmal dalam perkongsian di Instagram.

Surendran yang juga bekas Naib Presiden PKR sebelum ini membidas Dr Akmal berhubung cadangan beliau supaya mewajibkan penguasaan bahasa Melayu sebagai syarat untuk mendapatkan kerakyatan Malaysia.

Menurut Surendran, cadangan itu “tidak logik” kerana kewarganegaraan Malaysia ditentukan pada masa kelahiran dan bergantung kepada kewarganegaraan ibu bapa.

Dalam nada sarkastik, Surendran, yang menyiarkan komennya di laman X bertanya: “Jadi bila nak buat ujian BM? Masa baru lahir di wad bersalin? Lepas potong tali pusat?”

Peguam itu turut menyarankan Dr Akmal yang merupakan seorang doktor perubatan membaca Perlembagaan Persekutuan bagi mengasah pengetahuan mengenai kewarganegaraan.

Dr Akmal sebelum ini mencadangkan ahli Parlimen kerajaan atau pembangkang memfailkan usul di Parlimen untuk meminda undang-undang bagi mewajibkan penguasaan Bahasa Melayu sebagai satu syarat sebelum memperoleh kerakyatan.

“Jika warga Bangladesh yang datang ke Malaysia boleh bertutur dalam Bahasa Melayu, bagaimana seseorang boleh menggelarkan diri mereka sebagai warganegara tetapi tidak bercakap dalam bahasa itu?”

“Pemuda UMNO akan menggunakan saluran yang ada untuk memastikan usul ini dibentangkan dan dijadikan undang-undang di negara ini,” katanya.

Dr Akmal berkata demikian ketika mengulas kes seorang pegawai imigresen baru-baru ini yang enggan memperbaharui pasport seorang wanita di Pulau Pinang kerana tidak boleh bertutur dalam bahasa kebangsaan. – MalaysiaGazette