Sultan Sharafuddin Idris Shah bersama Tengku Amir Shah.

KUALA LUMPUR – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa pihatin dah bimbang susulan kejadian terbaru berunsur keganasan membabitkan pemain bola sepak Selangor FC, yang juga pemain kebangsaan, Faisal Halim, hari ini.

Baginda selaku Penaung Selangor FC dan Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah sebagai Pengerusi Selangor FC, mengecam sekeras-kerasnya serangan tidak bermoral ini dan mahu Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat kejadian ini ke akar umbi serta mencari punca sehingga pelakunya dapat ditangkap dengan segera.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan Selangor Royal Office, baginda turut menggesa mana-mana pihak yang mempunyai maklumat untuk tampil memberi kerjasama dengan pihak polis.

Baginda turut memandang serius kejadian ini dan mahu siasatan turut merangkumi kemungkinan sekiranya ada melibatkan kegiatan kumpulan yang berniat jahat atau keingkaran awam seperti samseng bola sepak atau hooliganisme.

Artikel berkaitan: Polis diminta segera siasat kes Faisal Halim disimbah asid

Faisal Halim stabil, alami lecur tahap dua

Sultan Selangor amat kecewa dan menganggap kejadian seumpama ini sebagai melampau kerana melibatkan nyawa ahli-ahli sukan.

Baginda juga khuatir jika insiden seperti ini tidak dibanteras segera, ia akan terus melarat sehingga boleh mengundang perkara lebih buruk pada masa akan datang.

Dalam kenyataan itu, baginda mendoakan agar Faisal Halim kembali sihat seperti sediakala dan dapat meneruskan khidmat sebagai pemain untuk pasukan Selangor FC. – MalaysiaGazette

Pemain Harimau Malaya, Faisal Halim disimbah asid