Calon Perikatan Nasional, Khairul Azhari Saut menyantuni penduduk setempat pada sesi walkabout sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu di sekitar Bandar Kuala Kubu Baharu, Hulu Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 29 APRIL 2024.

KUALA KUBU BAHARU – Perikatan Nasional (PN) telah  mencapai 70 peratus kempen bertemu pengundi pada hari kesembilan kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu.

Calonnya, Khairul Azhari Saut berkata, kempennya meliputi kawasan Felda, pasar pagi dan peniaga-peniaga di DUN berkenaan.

“Saya rasa PN sudah merangkumi lebih 70 peratus di semua PDM kita sudah pergi. Dari sempadan kawasan di Kerling sampai ke sempadan Batang Kali di Batu 30,” katanya kepada media dalam siri kempen hari ini.

Khairul Azhari yang juga pemangku Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) Kuala Kubu Baharu itu berkata, sehingga kini kempen berjalan lancar dan penerimaan pengundi sangat positif.

“Mereka beri kita kata-kata semangat dan saya harapkan doa daripada pengundi kawasan. Sekurangnya dapat doa pun sudah cukup,” katanya lagi.

Diminta mengulas kenyataan Ketua Pengarah PRK Kuala Kubu Baharu PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang optimis gabungan itu akan merampas kerusi DUN KKB, Khairul Azhari berkata, sebagai calon beliau akan berusaha untuk menang pada 11 Mei ini.

Justeru itu, beliau dan jentera parti perlu lebih agresif dalam siri kempen supaya sasaran parti dapat direalisasikan.

“Kita tahu peratusan turun mengundi pada PRU15 mahupun PRN agak membimbangkan hanya sekitar 67 peratus. Jadi kalau PN nak menang, sekurang-kurangnya kena dapat 80 peratus (jumlah pengundi yang keluar mengundi).

“Jentera kena kerja kuat untuk memastikan semua pengundi dapat keluar pada hari tersebut,” katanya lagi.

PRK DUN Kuala Kubu Baharu menyaksikan pertandingan empat penjuru di antara Khairul Azhari Saut (Perikatan Nasional), Pang Sock Tao (Pakatan Harapan), Nyau Ke Xin (Bebas) dan Hafizah Zainudin (Parti Rakyat Malaysia). – MalaysiaGazette

PN optimis menang jika peratusan keluar mengundi cecah 80 peratus