Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bersalaman dengan Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada retreat pimpinan PKR di Grand Lexis Hibiscus, Port Dickson, Negeri Sembilan. foto SYAFIQ AMBAK, 19 JULAI 2019

KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Keadilan (AMK) menggesa agar Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) segera membincangkan penetapan tarikh peralihan kuasa antara Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut ketuanya, Akmal Nasrullah Nasir, beliau percaya penetapan tarikh peralihan kuasa akan mencerminkan kesepakatan yang utuh dalam Pakatan Harapan.

“Ia mematahkan persepsi pergolakan dalam PH yang sering dimainkan oleh pihak pembangkang.

“Maka saya sarankan Sekretariat PH agar memastikan Mesyuarat Majlis Presiden akan datang membuat ketetapan tarikh peralihan Perdana Menteri pada Mei 2020 bagi menjamin kelangsungan agenda Pakatan Harapan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ketua Setiausaha Sekretariat PH, Datuk Saifuddin Abdullah, dalam satu kenyataan menegaskan bahawa peralihan kuasa Perdana Menteri hanya akan berlaku selepas Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) 2020 selesai dianjurkan, akhir tahun ini.

Justeru itu, katanya tidak timbul sama sekali isu peralihan kuasa Perdana Menteri akan dilakukan pada Mei depan.

Pada masa yang sama, Akmal berkata PH sudah bersetuju agar peralihan berlaku dalam tempoh 2 tahun Pakatan Harapan menjadi kerajaan iaitu sejak Mei 2018.

Justeru itu, katanya peralihan kuasa itu perlu diperincikan bagi menjamin kelangsungan agenda Pakatan Harapan.

“Kita seharusnya berterima kasih dan menghormati keputusan peletakkan jawatan Menteri oleh YB Dr Maszlee Malik dan sebelum ini jawatan Menteri Besar Johor oleh YB Osman Sapian.

“Pengalaman ini menunjukkan bahawa pertukaran boleh berlaku dengan baik dan harmoni dalam pentadbiran Pakatan Harapan,” katanya lagi.

Dr Mahathir pada 10 Disember tahun lalu telah menyatakan bahawa beliau akan menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar selepas APEC 2020. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Sibuk dgn peralihan kuasa hampa je rakyat dah meluat tau tak janji2 pru tinggal habuk cadangan melambung kereta tebang..sekolah free…tol hapus tau2 menteri nak dpt kereta mewah baru…nampak nya pm dah btul2 jadi boneka…..

Comments are closed.