Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan. Foto: MUHAIMIN MARWAN, 15 SEPTEMBER 2025.

KUALA LUMPUR – Pas menuntut penjelasan kerajaan berhubung penangguhan permohonan pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, penjelasan kepada umum itu penting kerana ia merupakan isu berkepentingan awam (public interest) yang tidak wajar dihalang daripada pengetahuan rakyat jelata.

“Pas beranggapan penangguhan permohonan Datuk Seri Mohd Najib di hadapan Mesyuarat Lembaga Pengampunan tersebut tidak akan berlaku secara sendirinya melainkan terdapat arahan dan/atau bantahan daripada mana-mana pihak sama ada dari kalangan ahli-ahli Lembaga ataupun dari mana-mana pihak ketiga lain yang berkepentingan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Media sebelum ini melaporkan kenyataan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang memaklumkan, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan supaya permohonan pengampunan Najib ditangguhkan ke Mesyuarat Lembaga Pengampunan yang akan diadakan kelak.

Menurutnya, perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan Ke-63 bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya yang diadakan hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan dijangka bermesyuarat untuk mempertimbangkan, antara lain permohonan Najib bagi mendapatkan pengampunan terhadap sabitan berkaitan kes seleweng dana SRC International Sdn Bhd.

Pada Julai 2020, bekas Perdana Menteri itu yang disabitkan atas kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International didenda RM210 juta dan dijatuhi hukuman penjara 12 tahun yang kemudian dikekalkan Mahkamah Persekutuan pada Ogos 2022.

Bagaimanapun pada 2 Februari 2024, Urusetia Lembaga Pengampunan mengumumkan Najib diberikan pengurangan 50 peratus bagi hukuman penjara, daripada 12 tahun ke enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta. – MalaysiaGazette

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here