Muhammad Rafique Rashid Ali

KUALA LUMPUR: Himpunan Perpaduan Ummah yang mensasarkan sejuta umat Islam tidak boleh sekadar menjadi himpunan antara ahli UMNO dan Pas semata-mata.

Sebaliknya, Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanahair (Pejuang), Muhammad Rafique Rashid Ali berkata, pintu himpunan itu perlu dibuka kepada semua yang mahu melihat perpaduan Melayu dan Islam dibina semula.

Menurutnya, dalam situasi ketika ini, persoalan berkenaan latar belakang parti, siapa yang mahu menjadi `abang’ atau `adik’ dalam kerjasama politik atau persengketaan dalam kalangan parti politik berteraskan Melayu-Islam perlu dielakkan.

Sebaliknya, menurut beliau, apa yang diperlukan ialah kesanggupan mengenepikan kepentingan sendiri untuk kepentingan yang jauh lebih besar.

“Sejuta orang berhimpun memang besar. Tapi angka sejuta tak bawa apa-apa makna jika selepas bersurai kita kembali mencaci, menjatuhkan dan mengkhianati satu sama lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, himpunan sejuta ummah itu perlu menjadi permulaan kepada sesuatu yang lebih besar iaitu kesedaran bahawa perbezaan parti tidak semestinya menjadikan orang Melayu dan umat Islam sebagai musuh.

Tambahnya, ketika UMNO dan Pas dilihat bersedia untuk membuka pintu itu, parti politik lain juga perlu bersedia melangkah masuk dan tidak menutup pintu itu hanya kerana ego dan sejarah lama.

“Kita tak perlu bubarkan semua parti untuk bersatu. Kita hanya perlu setuju bahawa dalam perkara yang melibatkan masa depan bangsa, agama dan negara, kepentingan bersama mesti mengatasi kepentingan parti dan individu,” katanya.

Tambah beliau, Pejuang pada dasarnya menyokong himpunan sejuta ummah itu, namun berharap ia tidak hanya berhenti pada perhimpunan sehari.

“Satukan sejuta hati kepada satu tujuan. Barulah perpaduan itu mempunyai makna yang boleh kita terjemahkan demi kepentingan rakyat keseluruhannya,” katanya.

Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 sebelum ini meluluskan usul untuk UMNO dan Pas mengadakan Himpunan Perpaduan Ummah dengan sasaran untuk menghimpunkan sejuta umat Islam.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh diberikan mandat untuk menggerakkan usaha penganjuran program itu yang tarikh akan ditentukan kelak. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here