KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menjelaskan Himpunan Perpaduan Ummah dibuka kepada semua tanpa mengira parti atau bangsa.
Menurut beliau, UMNO dan Pas selaku dua parti Melayu-Islam terbesar negara hanya penggerak kepada himpunan tersebut.
“Untuk makluman kita tidak pernah menutup atau menghadkan Himpunan Perpaduan Ummah ini untuk mana-mana parti ataupun organisasi.
“Himpunan ini melibatkan semua tidak kira parti atau bangsa.
“Selagi mana ia bertujuan untuk menyatukan ummah, maka semua dijemput untuk bersama.
“Himpunan Perpaduan Ummah ini adalah himpunan kita semua,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.
Terdahulu, Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanahair (Pejuang), Muhammad Rafique Rashid Ali menyarankan supaya himpunan itu tidak boleh sekadar menjadi himpunan antara ahli UMNO dan Pas semata-mata.
Sebaliknya, kata beliau, pintu himpunan itu perlu dibuka kepada semua yang mahu melihat perpaduan Melayu dan Islam dibina semula.
Menurutnya, dalam situasi ketika ini, persoalan berkenaan latar belakang parti, siapa yang mahu menjadi `abang’ atau `adik’ dalam kerjasama politik atau persengketaan dalam kalangan parti politik berteraskan Melayu-Islam perlu dielakkan.
Sebaliknya, menurut beliau, apa yang diperlukan ialah kesanggupan mengenepikan kepentingan sendiri untuk kepentingan yang jauh lebih besar.
“Sejuta orang berhimpun memang besar. Tapi angka sejuta tak bawa apa-apa makna jika selepas bersurai kita kembali mencaci, menjatuhkan dan mengkhianati satu sama lain,” kata Muhammad Rafique dalam satu kenyataan hari ini.
Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 sebelum ini meluluskan usul untuk UMNO dan Pas mengadakan Himpunan Perpaduan Ummah dengan sasaran untuk menghimpunkan sejuta umat Islam.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh diberikan mandat untuk menggerakkan usaha penganjuran program itu yang tarikh akan ditentukan kelak. – MalaysiaGazette
















