Temubual eksklusif bersama bekas penembak tepat UTK, Sarjan (B) Nazaruddin @ Sabu di Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 28 FEBRUARI 2018.

MALAM tadi saya berkesempatan menemui bekas anggota Unit Tindakhas (U.T.K), Sarjan (B) Nazaruddin Mohd. Zain atau lebih dikenali sebagai Sabu yang dokumentari kisahnya sedang tular dan telah mendapat lebih 530,000 tontonan di Malaysia Gazette ketika artikel ini ditulis.

Kami berdua minum teh tarik di sebuah restoran mamak berhampiran rumah pangsanya di Cheras, Kuala Lumpur.

Duduk sahaja di kerusi, beliau tersenyum.

Kata Sabu, ketika bertugas dalam Cawangan Jenayah Berat (D9) dulu, walau sedang santai di restoran mamak sekali pun, dipinggang dan dalam beg sandangnya tetap terselit pistol semi automatik sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan diminta pergi ke operasi atau untuk mempertahankan diri.

“Ketika itu ada tiga jenis senjata yang selalu saya guna, pertama jenis Browning, kedua jenis Walther dan ketiga jenis Ingram. Namun kalau tanya saya, saya lebih suka guna ‘pump gun’ kalau pergi satu-satu operasi…bersepai!

“Masa tu mana ada telefon bimbit, kita dengar walkie talkie saja, dapat arahan je terus bangun dan berkejar ke tempat suspek.

” Dia (penjenayah) tembak kita je, kita balas tembakan dia, ‘confirm’ masuk ‘plastik hitam’,” katanya sambil meneguk segelas air panas.

Plastik hitam yang Sabu maksudkan adalah beg mayat yang sering digunakan untuk membungkus mayat penjenayah yang ditembak mati.

Kisah Sabu yang usianya kini mencecah 75 tahun memang mengujakan, pada masa yang sama menghibakan.

Walaupun dikurniakan pingat keberanian kedua tertinggi negara, pingat Panglima Gagah Berani (PGB) kerana jasanya menembak mati ramai penjenayah tegar, dia hanya mempunyai sebuah motosikal kapcai dan tinggal di rumah flat.

Isterinya meninggal dunia kerana kanser beberapa tahun lepas.

” Memang kalau diikutkan, saya berharap sangat agar kerajaan dapat menghadiahkan sekeping tanah, kecil pun tak mengapa janji boleh buat sebuah rumah yang lebih selesa, tetapi di usia-usia sebegini tak banyak yang boleh saya harapkan lagi En.Syahril, duduk jelah kat flat ni.

” Lebih 30 tahun saya dalam polis di mana 10 tahun dalam U.T.K dan 10 tahun dalam D9, kedua-dua unit yang terlibat secara langsung dalam memburu penjenayah tegar, nyawa ni betul-betul ibarat macam di hujung tanduk, ditembak di leher dan macam-macam kecederaan yang saya alami tetapi saya reda dengan ketentuanNya.

” Alhamdulillah bila dokumentari mengenai saya tersiar, ramai rakan-rakan sepasukan datang berziarah dan menelefon bertanya khabar, itu pun dah berjaya mengubat hati saya,” katanya.

Dalam pada itu, Sabu turut menyuarakan isi hatinya pada saya.

Tanpa berselindung, beliau berdoa akan ada pihak yang sudi untuk membawanya menunaikan umrah di Tanah Suci suatu hari nanti.

Menurut Sabu, mungkin ini ‘hadiah terbaik’ kalau hendak menghargai jasa dan pengorbanannya mempertaruhkan nyawa mempertahankan tanah air selama ini kerana beliau tidak pernah menerima apa-apa imbuhan kecuali elaun PGB dan pencen yang diterimanya setiap bulan.

Bekas anggota UTK, Sarjan (B) Nazaruddin @ Sabu menunjukkan pingat keberanian kedua tertinggi negara, pingat Panglima Gagah Berani (PGB) yang diterimanya di Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 29 DISEMBER 2019.

” Saya bukan nak meraih simpati jauh sekali hendak mengemis, saya bersyukur dengan apa yang ada tetapi kalau tanya saya, saya berhasrat untuk ke Tanah Suci untuk melakukan ibadah umrah.

” Kalau ada yang nak bawa saya, Alhamdulillah,” katanya dalam nada perlahan.

Kira-kira sejam berbual, beliau meminta izin untuk pulang kerana hendak bertemu bekas rakan sepasukannya yang telah lama tidak ketemu. Ketika itu jam sudah menunjukkan pukul 12 malam.

Beliau menolak pelawaan saya untuk menghantarnya.

Sebelum beredar, saya sempat meminta nombor akaun banknya andai kata ada pihak hendak ‘berkongsi rezeki’ dengannya.

Sabu terdiam. Lama dia seolah-olah memikirkan sesuatu.

Bekas anggota UTK, Sarjan (B) Nazaruddin @ Sabu berjalan sebelum menunggang motorsikalnya untuk menuju ke Penjara Pudu di Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 29 DISEMBER 2019.

” Saya ada akaun Public Bank, nombornya saya ingat, 4534 704 214 NAZARUDDIN MOHD ZAIN,” katanya sebelum memakai topi kelendar.

Sebaik saja menghidupkan enjin motosikalnya, Sabu terus beredar membelah kegelapan malam.

Saya hanya mampu berdoa agar impiannya ke Makkah menjadi kenyataan.

Kun Faya Kun. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast