Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Terdapat sedikit peningkatan kes penyakit menyerupai Influenza (ILI) dan severe acute respiratory infection (SARI) semenjak pertengahan bulan Disember 2019.

Kementerian Kesihatan berkata, ia berdasarkan trend yang direkodkan daripada aktiviti survelan kadar konsultasi kes ILI dan kadar kemasukan pesakit ke wad dengan SARI) melibatkan beberapa lokasi sentinel dikenalpasti dari seluruh negara berhubung situasi semasa jangkitan influenza semasa.

Namun begitu, peningkatan yang direkodkan itu masih berada dalam julat normal dan hampir sama dengan tahun-tahun sebelumnya, menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah.

“Manakala analisa oleh Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan Sungai Buloh dan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) terhadap virus influenza yang dikesan daripada aktiviti survelan ini tidak menunjukkan sebarang tanda ianya telah mengalami mutasi sehingga mencetuskan kemunculan virus influenza yang baru (novel virus).

“Susulan daripada kenyataan akhbar tersebut, KKM ingin menasihatkan mengenai langkah yang perlu diambil dalam mengendalikan pesakit terutamanya di kalangan kanak-kanak di bawah lima tahun.

kaedah dan cara mencegah jangkitan influenza dari KKM.

“Jika terdapat keperluan, gunalah ubat paracetamol mengikut dos yang tepat, di samping mendemah bahagian badan seperti kepala, kaki dan badan dengan tuala basah (tepid sponging),” kata beliau dalam kenyataan baru-baru ini.

Dalam perkembangan sama, katanya perlu mengelakkan daripada memberi ubat Non-Steroidal Anti Inflammatory Drugs (NSAIDS) untuk mengurangkan demam kerana terdapat bukti klinikal yang menunjukkan penggunaannya boleh meningkatkan risiko komplikasi jangkitan influenza seperti radang otak di kalangan kanak-kanak.

Justeru katanya, perlu memastikan pesakit minum secukupnya supaya kekal terhidrat dan dinsihati membawa pesakit tersebut berjumpa doktor dengan segera sekiranya demam tidak berkurangan atau mempunyai gejala penyakit influenza seperti demam selsema atau flu, sakit tekak, batuk dan gejala lain seperti sakit kepala, sakit otot, sakit sendi dan kelesuan.

“Selain itu, sebagai langkah pencegahan penularan jangkitan influenza pula, KKM ingin mengingatkan orang ramai agar sentiasa mengekalkan tahap kebersihan diri yang tinggi, kerap membasuh tangan dengan menggunakan air dan sabun atau hand sanitizer, mengamalkan adab batuk yang baik dan cara hidup sihat.

“Orang awam secara amnya dan golongan berisiko tinggi khususnya adalah digalakkan untuk mendapatkan pelalian vaksin influenza bermusim yang ditawarkan di kebanyakan fasiliti kesihatan swasta di seluruh negara,” ujarnya lagi.

Sementara itu, katanya, bagi mereka yang mempunyai gejala jangkitan influenza adalah dinasihatkan untuk mengamalkan perkara berikut iaitu,berehat di rumah dan tidak pergi ke tempat tumpuan ramai.

Sekiranya perlu ke tempat awam, tegasnya mereka dinasihatkan untuk memakai penutup hidung dan mulut dengan betul bagi mengelakkan penularan jangkitan melalui titisan pernafasan.

“Menutup hidung dan mulut dengan tisu, tuala atau sapu tangan apabila batuk atau bersin dan seterusnya, tisu yang telah digunakan perlu dibuang dengan segera ke dalam tong sampah.

“Mengelakkan dari berkongsi peralatan peribadi seperti tuala, sapu tangan dan sebagainya dengan individu yang lain, segera berjumpa dengan doktor untuk pemeriksaan bagi mendapatkan rawatan lanjut sekiranya gejala bertambah teruk seperti demam dan batuk, sakit tekak yang berterusan,” jelas beliau lagi.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast