Chan Quin Er

KUALA LUMPUR – Meskipun sudah seminggu negara melangkah ke Tahun 2020 namun program untuk acara Tahun Melawat Malaysia 2020 tidak dirasai dan tidak kelihatan.

Tiada kempen yang memberi impak terhadap penganjuran itu.

Ahli Jawatankuasa Pusat MCA, Chan Quin Er berkata, keadaan itu berlaku kerana negara semakin kabur dek persoalan ‘bila jawatan PM akan bertukar tangan’ atau ‘siapa akan menggantikan tempat Menteri Pendidikan’ yang telah dikosongkan?

Sedangkan, Malaysia mensasarkan sebanyak 30 juta pelancong datang ke negara ini.

Malah, Perdana Menteri turut meminta agar rakyat memainkan peranan supaya sasaran kedatangan pelancong asing dan RM100 bilion pendapat pelancongan dapat diraih.

“Tapi, hampir seminggu kita melangkah ke tahun 2020, suasana ‘itu’ langsung tidak terasa, tidak kelihatan!,” katanya.

Chan mempersoalkan bagaimanakah rakyat ingin memainkan peranan jika kementerian dan pihak yang bertanggungjawab bagi menjayakan program ini juga seolah-olah gagal melaksanakannya.

Tambahnya, Tahun Melawat Malaysia 2020 ini telah diwar-warkan sejak awal tahun lepas lagi, takkan masih tidak cukup masa untuk buat persiapan.

“Mungkin pihak yang bertanggungjawab dengan pengendalian program ini boleh memikirkan sesuatu untuk merancakkan lagi suasana Tahun Melawat Malaysia 2020,” ujarnya. – MalaysiaGazette