LANGKAWI – Sebanyak 29 bot dari seluruh dunia bakal menghangatkan perairan Langkawi bagi Kejuaraan Regatta Antarabangsa Diraja Langkawi (RLIR) Belt & Road yang bermula esok hingga 11 Januari ini.
Kejuaraan yang memasuki edisi ke-18 bakal menampilkan lebih 300 pelayar bertanding merebut gelaran dalam tujuh kelas perlumbaan dipertandingkan iaitu Racing, IRC1, IRC2, Club Cruising, Sports Boat, Multihull dah Whitesail.
Bakal mencuri tumpuan, jurumudi Ray Robert yang mengemudi pasukan Team Hollywood – Provezza juga bakal membuat penampilan tahun ini bagi mengekalkan Trofi Cabaran Perdana Menteri yang diraih musim lalu dalam kelas utama, Racing.
Turut mengekori jejak Robert adalah wakil Thailand, Don Whitcraft (THA72) dan wakil negara, Vincent Chan (Mata Hari KL Registry).
“Tarikan utama regatta kali ini sangat bermakna kerana menjadi acara terawal dan mungkin pertama dalam kalendar untuk Tahun Melawat Malaysia 2020.
“Untuk peminat regatta, datanglah beramai-ramai untuk menyaksi perlumbaan bermula setiap pagi dan kami mengharapkan tiupan angin kuat agar boleh dijalankan dua hingga tiga perlumbaan yang pendek sehari.
“RLIR juga adalah kejohanan paling mengujakan kerana Kelab Kapal Layar Diraja Langkawi (RLYC) merupakan marina yang terbesar di Malaysia yang mampu menempatkan 250 bot berlabuh pada satu masa dengan suasana itu hanya kelihatan setahun sekali,” kata Pengarah Eksekutif RLYC, Datuk Azlan Abdullah pada sidang media RLIR di sini hari ini.
Sementara itu, regatta yang dianjurkan RLYC itu berjaya menarik penyertaan pasukan dari 14 negara antaranya dari Malaysia, Australia, Denmark, Austria, Jepun, Great Britain, Russia dan Singapura. – MalaysiaGazette