KUALA LUMPUR- Lagenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei akan menjadi atlet pertama Malaysia diabadikan dalam muzium patung lilin di Madame Tussauds Hong Kong.
Chong Wei , dalam akaun Instagram, hari ini, berkata beliau sangat bangga menjadi atlet pertama negara menjadi sebahagian daripada tarikan di muzium Madame Tussauds yang pertama di Asia yang dibuka pada tahun 2000.
Pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016, berusia 37 tahun itu, berkata patung lilinnya akan didedahkan pada suku kedua tahun ini.
“Terima kasih kepada pasukan Madame Tussauds Hong Kong yang sangat sabar dan teliti semasa sesi berkenaan (ukuran badan dan sesi bergambar). Sudah pasti pengalaman baharu buat saya,” katanya.
Muzium cawangan Hong Kong itu menempatkan hampir 100 patung lilin tokoh terkenal dunia.
Bekas pemain nombor satu dunia itu bersara daripada sukan badminton tahun lalu.- BERNAMA