KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Pendakwa Raya (PP) berjaya mengekalkan perintah pembekuan akaun bank pengarah syarikat dalam penyiasatan yang sedang
dijalankan.
Ia selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam kelmarin membenarkan SC untuk membatalkan saman yang difailkan oleh Teh Sew Wan pada 24 Ogos 2019.
Teh memfailkan saman itu berikutan pembekuan dan penyitaan akaun banknya, yang dilakukan oleh SC dan PP menurut seksyen 44 dan 50 Perintah Pembekuan dan Penyitaan di bawah Akta
Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).
Teh mendakwa perintah di bawah AMLATFPUAA tersebut merupakan undang-undang yang tidak adil dan melanggar hak perlembagaannya.
Ketika sesi pendengaran di Mahkamah Tinggi Shah Alam kelmarin, SC dan PP mempertikaikan bahawa saman yang difailkan oleh Teh adalah pramatang dan menyalah guna proses mahkamah kerana siasatan terhadap Teh masih dijalankan.
Dalam menyampaikan keputusan Mahkamah Tinggi, Hakim Dato’ Che Mohd Ruzima bersetuju dengan SC dan memerintahkan agar saman tersebut dibatalkan. – MalaysiaGazette