KOTA BHARU – Penaja jersi The Red Warriors (TRW), syarikat PUC Sport memperkenalkan aplikasi mudah alih dalam urusan penjualan jersi dan ‘merchandise’ pasukan itu untuk saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim 2020.

Pengarah Urusan PUC Sport, Mohd Shukry Pauzi berkata, aplikasi mudah alih PUC Sport itu, boleh dimuat turun secara percuma bermula hari ini.

“Sebagai permulaan aplikasi itu akan digunakan dalam penjualan jersi edisi khas TRW. Ia adalah salah satu usaha baharu yang kami perkenalkan dalam menyemarakkan lagi penjenamaan semula pasukan TRW,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

PUC Sport merupakan syarikat tempatan yang telah dua musim, menjadi penaja jersi rasmi TRW bagi saingan Liga-M.

Mohd Shukry berkata, aplikasi tersebut juga akan dilengkapi dengan maklumat terbaharu pasukan TRW sepanjang saingan Liga- M, yang akan memulakan sepak mula pada Februari depan.

“Kami akan menjalinkan kerjasama dengan pasukan media Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), bagi mendapatkan maklumat semasa TRW. Kami amat berharap agar ‘pemain ke-12’ TRW, dapat memberikan sokongan dengan memuat turun aplikasi itu,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya mengeluarkan sebanyak 1,500 jersi edisi khas untuk peminat pasukan Kelantan. – MalaysiaGazette