KUALA LUMPUR – Nama Puteri Balqi menjadi bualan selepas program Bersamamu terbitan TV3 menyiarkan keperitan hidupnya bersama ibu yang ditayangkan pada 12 Januari lalu.
Pelbagai pandangan yang dilemparkan terhadap kesusahannya yang tidak lagi seperti dulu.
Ada juga selebriti yang mempertikaikan tanggungjawab ibu Balqis yang sanggup membawanya menjual buku puisi di kota raya dengan berjalan kaki.
Malah tidak kurang netizen melontarkan andaian tentang kondisi ibunya, Norashikin Mohd Aziz.
Balqis mempertahankan ibunya yang menjadi tomahan kerana kehidupan mereka berdua kini susah, termasuk dakwaan Norashikin adalah penagih dadah.
Kata pelakon cilik yang berbakat itu, ibunya tidak pernah membiarkan dirinya untuk turun ke jalanan untuk menjual, namun dia sendiri yang mahu ikut.
“Ibu Puteri (Balqis) tidak pernah membiarkan puteri bekerja, tidak pernah sesekali. Puteri yang memaksa untuk ikut. Terus-terang di KL, ibu yang meniaga, Puteri cuma ikut, ibu tak bagi tapi Puteri yang rabun masih punya perasaan kasihan melihat ibu.
“Kalaulah Puteri ini bukan dari golongan industri dah tentu manusia yang tahu akan cakap, kami kuat. Tapi kerana Puteri dalam industri, maka ayatnya ‘kenapa dibiar’. Bezanya fitnah apabila berada dalam industri,” katanya menerusi akaun Instagram.
Selain itu, Puteri Balqis turut menafikan dakwaan segelintir netizen yang mengatakan ibunya mengambil barang terlarang disebabkan fizikalnya yang kurus dan tidak terurus.
Malah ujar beliau, kesihatan ibunya juga tidak menentu apabila sering jatuh pengsan selepas insiden terhentak dua tahun lalu.
“Fizikal ibu yang kurus, selalu tidak makan, tak cukup tidur. Sewaktu Puteri sakit, ibu kadang-kadang tidak tidur. Takut Puteri sakit sewaktu tidur. Ibu Puteri memang sering pengsan. Tenaganya tak sekuat dulu selepas jatuh dan terhentak di tahun 2018. Ibu tetap bangun dan teruskan berjalan. Kenyataan ibu hisap dadah itu diberitakan oleh ibu saudara Puteri sendiri yang menggunakan akaun (media sosial) palsu,”katanya lagi.
Puteri Balqis disahkan menghidap penyakit misteri sejak dua tahun lalu. Dia kini menetap di sebuah pangsapuri di Setia Alam dan setiap hari akan singgah ke ibu kota untuk menjual buku puisinya.
Ingin membantu kanak-kanak itu, syarikat produksi, A Aida Production Sdn Bhd menawarkan Puteri Balqis, 13, berlakon dalam telefilem bertajuk Tiada Galang Ganti.
Namun baharu tidak sampai sehari menerima tawaran tersebut, Puteri Balqis menarik diri sebelum pengambaran dimulakan.
Dilaporkan ibu kanak-kanak itu berkata anaknya tidak akan lagi kembali ke industri seni.
Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) kini sedang dalam proses untuk mendapatkan rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) buat pelakon Puteri Balqis dan ibunya
Menepis dakwaan segelintir pihak yang mengatakan Seniman tak pernah menghulurkan bantuan atau ‘lepas tangan’ terhadap masalah yang dihadapi Puteri Balqis, kata Presidennya, Zed Zaidi, persatuan itu telah beberapa kali menolong mereka namun ibunya yang memohon perkara itu tidak dikongsikan kepada umum sebelum ini. – MalaysiaGazette