KUALA LUMPUR- Khazanah Nasional Bhd. (Khazanah) dan Telenor ASA dikatakan telah menghidupkan semula rundingan penjualan kepentingan Axiata Group Bhd. selepas empat bulan ianya tersebut dibatalkan.

Menurut sumber, rundingan di antara Khazanah dan Telenor ketika ini masih di peringkat awal dan ia adalah untuk meneroka beberapa kemungkinan termasuk penjualan pegangan Khazanah di dalam Axiata.

Pembelian kepentingan oleh syarikat Norway itu boleh membuka ruang kepada lebih banyak urus niaga seperti penggabungan aset-aset menara telekomunikasi milik kedua-dua syarikat serta konsolidasi dalam sesetengah pasaran, jelas sumber berkenaan.

Antara opsyen lain adalah penggabungan operasi dan penyenaraian dua syarikat telekomunikasi utama itu.

Khazanah adalah pemegang saham terbesar Axiata dengan 37 peratus kepentingan.

Bagaimanapun menurut sumber berkenaan, masih tiada keputusan muktamad berhubung sebarang transaksi setakat ini dan rundingan tersebut boleh sahaja dibatalkan,

Wakil Axiata, Khazanah dan Telenor enggan memberi komen.

Pembelian kepentingan minoriti membolehkan Telenor mengukuhkan kedudukannya di Asia sekali gus meredakan kebimbangan politik di Malaysia yang mana Axiata merupakan pengendali pasaran mudah alih terbesar.

Pada September lalu, Axiata dan Telenor mengakhiri rundingan penggabungan operasi mereka di Asia sekali gus menamatkan usaha untuk mewujudkan sebuah syarikat yang mempunyai 300 juta pelanggan dan jualan sebanyak AS$13 bilion di sembilan negara.- Bloomberg

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast