NEW DELHI – Maldives mungkin kehilangan keseluruhan pulaunya kecuali negara itu dapat mengakses pembiayaan dengan pantas untuk mengatasi kesan perubahan iklim, kata Menteri Luarnya.
Bagaimanapun, Maldives yang terkenal kerana pasirnya yang putih dengan pulau-pulaunya ditumbuh pokok kelapa yang menarik ramai pelancong kini bergelut mencari dana untuk membina infrastruktur seperti dinding laut.
“Bagi negara kecil, ia bukannya mudah,” kata Menteri Luar, Abdulla Shahid kepada Reuters di New Delhi. “Apabila mendapat dana, kami mungkin berada di dalam air,”.
Pada perincangan perubahan iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Madrid pada Disember lalu, Maldives dan negara-negara yang terdedah kepada bahaya itu menggesa proses pembiayaan baharu untuk membantu mereka menangani bencana dan kerosakan jangka panjang yang dikaitkan dengan perubahan iklim diperkukuhkan, namun ia gagal.
Shahid berharap perbincangan pusingan seterusnya yang akan diadakan di Glasgow pada November depan akan menghasilkan keputusan yang lebih baik.
Maldives adalah salah sebuah negara yang terendah di dunia, lebih 80 peratus tanahnya kurang daripada satu meter daripada aras laut, menjadikan negara dengan populasi seramai 530,000 orang itu terdedah kepada risiko ribut, ombak besar dan keadaan cuaca yang ekstrem.
Pada 2004, tsunami di Lautan Hindi melanda negara Islam itu menyebabkan kerugian kira-kira AS$470 juta, 62 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar, dan merosakkan infrastruktur termasuk satu-satunya lapangan terbang antarabangsa negara itu yang ditututp beberapa hari.
Dua industri utamanya, pelancongan dan perikanan, bergantung pada sumber laut dan kebanyakan penempatan dan infrastruktur penting berada sepanjang pantai.
Pada 2014, lebih daripada 100 buah pulau kecil yang tidak berpenghuni dilaporkan mengalami hakisan dan kira-kira 100 buah pulai dikenalpasti mengelami hakisan teruk.
Maldives membelanjakan kira-kira AS$10 juta setiap tahun untuk kerja-kerja melindungi pantainya namun ia memerlukan jumlah keseluruhan sebanyak AS$8.8 bilion bagi melindungi pulau-pulau tidak berpenghuni, menurut unjuran Kementerian Alam Sekitar pada 2016.
‘Dalam usaha melindungi pulau itu, kami perlu mula membina dinding laut. Ia mahal tetapi kami memerlukannya. Kami tidak boleh tunggu sehingga semuanya dibawa pergi,” kata Shahid.
PBB telah mewujudkan tabung untuk meMbantu negara-negara membangun yang dikenali Green Climate Fund (Dana Iklim Hijau) yang telah meluluskan dana sebanyak AS$24 juta untuk Maldives, menurut laman sesawangnya.
Beberapa negara juga telah menawarkan bantuan, termasuk Jepun yang menyumbang dinding laut mengelilingi ibu negara Maldives, Male.
Shahid tidak menyatakan negara mana baliau meminta lebih banyak pembiayaan.
Bagaimanapun, Menteri Alam Sekitar, Hussain Rasheed Hassan berkata, baru baru ini negaranya melihat kepada bank untuk mendapatkan dana yang tidak mencukupi walaupun pada hakikatnya negara kecil seperti Maldives perlu berkorban untuk pencemaran yang dilakukan untuk kemajuan dunia.
“Kami perlu merayu beberapa penyumbang bagi menyediakan dana untuk kami. Adalah ini adil?” katanya. – Agensi