KOTA BHARU, 18 Jan — Walaupun berstatus Orang Kelainan Upaya (OKU) namun ia tidak menjadi penghalang bagi Muhammad Qayyim Nizar Sarimi, 22, untuk berjaya bergelar Johan Qari Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Kelantan Tahun 1441H/2020M.
Muhammad Qayyim berkata, meskipun kurang penglihatan namun beliau bersyukur dengan usaha dan persediaan dilakukan ternyata ianya membuahkan hasil apabila meraih gelaran johan qari peringkat negeri untuk kali ketiga.
“Saya sudah banyak menyertai majlis tilawah Al-Quran, dan ini kali ketiga saya berjaya diangkat sebagai johan qari di peringkat negeri ini selain pada tahun, 2017 dan 2019,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pengurniaan Hadiah Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Negeri Kelantan Tahun 1441H/2020M yang disempurnakan Menteri Besar Datuk Ahmad Yakub di Kompleks Islam Darulnaim, Kota Bharu malam tadi.
Berkongsi kejayaannya, beliau yang juga penuntut semester akhir Diploma Tahfiz di Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) Nilam Puri berkata, sebagai persediaan beliau meluangkan masa selama tiga jam bagi mempelajari ilmu taranum dan sebagainya sebanyak dua kali seminggu.
“Saya mendalami Al-Quran dengan mendapat tunjuk ajar daripada beberapa bekas qari kebangsaan di negeri antaranya Rahim Ahmad dan Yahya Daud malah ianya tidak sia-sia apabila ia membuahkan hasil walaupun keadaan saya sebegini,” katanya.
Terdahulu, Muhammad Qayyim dan Wan Sofea Aini Wan Mohd Zahidi masing-masing dinobatkan sebagai Johan Qari dan Qariah tilawah peringkat negeri dengan membawa pulang wang tunai RM10,000 selain pakej ibadah umrah, plak dan sijil penyertaan.
Kejayaan itu sekali gus melayakkan mereka mewakili negeri Kelantan pada Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan yang akan diadakan pada 13-21 Februari ini bertempat di International Convention Center Kota Kinabalu, Sabah.
Sementara itu, seorang tenaga pengajar Wan Sofea Aini, 26, berkata, dia tidak menjangkakan sama sekali akan dipilih sebagai johan qariah pada tahun ini memandangkan ianya persaingan sengit kerana peserta yang menyertai mempunyai kehebatan sendiri.
Katanya, dia mula menyertai tilawah yang diadakan sejak tahun 2015 dan ini kali kedua beliau dinobatkan sebagai qariah selepas merangkul anugerah yang sama pada tahun 2016.
“Dengan pertandingan ini ianya menjadi landasan untuk saya menambah lebih banyak ilmu Al-Quran selain memperbaiki mutu bacaan. Kejayaan ini didedikasikan untuk keluarga dan semua pihak yang banyak membantu dan insyallah saya akan melakukan yang terbaik di peringkat kebangsaan nanti,” katanya yang kini sedang menunggu kelahiran cahaya mata sulungnya.
Pada majlis sama, johan Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabansa Tahun 2017 Abdullah Fahmi Che Nor @ Shukeri turut menerima replika kunci rumah yang dianugerahkan oleh Kerajaan Negeri kepadanya. – Bernama