Kabilen Mathan Raj

KUALA LUMPUR – Pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) akan menganjurkan konsert amal ‘Malam Irama Penyayang’ (MIP) dalam usaha membantu dua pesakit kanak-kanak yang perlu menjalani prosedur jantung.

Konsert amal itu menyasarkan mengumpul RM50,000 untuk disumbangkan kepada kanak-kanak berusia tiga tahun Kabilen Mathan Raj (RM15,000) dan Paveen Raj Sathiam, 12, (RM35,000).

Pengerusi penganjur program itu Yuvaraj Chantra Mohan berkata Kabilen perlu menjalani prosedur kateterisasi jantung kerana mengalami masalah pernafasan ketika makan, yang pada jangka panjang, boleh mengganggu tumbesarannya akibat kegagalan jantung atau kekurangan oksigen.

“Sementara itu, denyutan jantung Paveen lemah dan perentak jantungnya perlu ditukar. Kedua-dua pesakit sedang dirawat di Institut Jantung Negara,” katanya kepada Bernama, hari ini.

Paveen Raj Sathiam.

Yuvaraj memaklumkan setiap kali cuti semester, pelajar daripada Sekretariat Kebudayaan Mahasiswa India UKM akan mengumpulkan dana untuk membayar kos perubatan pesakit yang memerlukan dengan menganjurkan MIP.

Sejak penubuhannya pada 2009, MIP telah berjaya mengumpul dana berjumlah RM415,000 untuk rawatan 19 pesakit kanak-kanak.

Tahun lepas, ia berjaya mengumpul RM50,000 untuk membantu bayi berumur sebulan, S. Jivasri yang perlu menjalani prosedur kateterisasi jantung dan bayi berumur dua bulan, P. Sakthivel Naidu yang perlu menjalani surgeri meluaskan saluran arterinya.

MIP ke-12 itu akan berlangsung di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (Dectar), UKM pada 21 Mac.

Orang ramai yang berhasrat menderma boleh menghubungi Yuvaraj di talian 010-2572489 atau menyalurkan sumbangan menerusi akaun bank CIMB 7065036248, atas nama Bendahari UKM atau Cynthia Patinadan.- BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast