Putera Harry dan isterinya, Meghan Markle. foto Agensi

LONDON – Putera Harry menzahirkan rasa sedihnya kerana terpaksa meninggalkan tugas-tugas diraja sebagai salah satu perjanjian dengan Ratu Elizabeth dan kerabat-kerabat kanan Windsor apabila beliau dan isteri, Meghan berhasrat untuk menjalani kehidupan biasa dan berdikari.

Istana Buckingham dan Ratu Elizabeth dalam satu  kenyataan pada Sabtu mengumumkan Harry dan Meghan bukan lagi kerabat monarki Britain dan tidak boleh lagi menggunakan gelaran “Yang Mulia”.

Pasangan tersebut juga perlu membiayai perbelanjaan harian sendiri dan bebas untuk menceburi kerjaya baharu.

Perjanjian terbaharu itu dimeterai bagi mengakhiri krisis selepas pasangan tersebut mengumumkan untuk berhenti daripada melaksanakan tugas-tugas rasmi diraja dan menghabiskan lebih banyak masa di Amerika Utara, awal bulan ini.

“Saya sangat sedih tetapi keputusan yang diambil ini adalah hasil daripada perbincangan sejak beberapa bulan lalu dan tidak diambil secara tergesa-gesa.

“Kami bukan mahu lari tetapi kami sudah tidak mempunyai pilihan lain,” katanya dalam satu majlis sebuah badan kebajikan, Sentebale yang diasaskan beliau bagi membantu kanak-kanak HIV di Afrika.

“Saya mahu anda mendengar sendiri dari mulut saya, bukan sebagai seorang putera atau Duke tetapi sebagai Harry, insan sama yang anda semua lihat sejak 35 tahun lalu tetapi mempunyai perspektif yang lebih jelas.

“UK adalah rumah saya dan saya sangat menyayanginya. Ini tidak akan berubah,” katanya lagi

Harry yang berwajah sugul menjelaskan, syarat yang dikenakan oleh Ratu Elizabeth itu bukanlah apa yang beliau dan isterinya, seorang bekas pelakon mahukan.

“Kami sebenarnya berharap untuk terus berkhidmat kepada Ratu, Komanwel dan persatuan-persatuan ketenteraan tanpa dana awam.

“Malangnya, ianya tidak menjadi kenyataan.

“Saya menerima kenyataan ini kerana tahu ia tidak akan mengubah siapa diri saya yang sebenarnya dan betapa komitednya saya (terhadap tanggung jawab-tanggung jawab tersebut).

“Tetapi saya berharap anda semua faham apa yang berlaku dan saya sedia berundur dari apa yang saya miliki selama ini demi untuk melangkah kehadapan dan berharap memperolehi kehidupan yang lebih aman,” katanya.

Di bawah perjanjian berkenaan, Harry akan kekal sebagai seorang putera raja dan pasangan berkenaan tetap memegang gelaran Duke dan Duchess of Sussex meskipun sudah memulakan kehidupan baharu kelak.

Bagaimanapun, mereka tidak lagi akan turut serta dalam mana-mana upacara membabitkan istana serta terlibat dalam lawatan-lawatan diraja.- Agensi