Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan melihat replika Hospital Tunku Azizah pada Majlis Perasmian Hospital Tunku Azizah di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Kuala Lumpur, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 20 JANUARI 2020

KUALA LUMPUR – Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menasihati para ibu menjaga kesihatan anak-anak mereka tatkala pelbagai penyakit wujud ketika ini.

Tunku Azizah bertitah agar golongan ibu tidak memandang ringan terhadap sakit demam yang dialami anak-anak, sebaliknya  membuat pemeriksaan di hospital dengan segera demi memastikan kesihatan mereka sentiasa berada di tahap optimum.

“Kepada ibu-ibu saya nak menasihatkan anak-anak adalah anugerah Allah SWT dan itu adalah tugas kita sebagai ibu untuk membesarkan anak kita dengan sihat. Saya harap dengan fasiliti yang ada di hospital ini kita gunakanlah sepenuhnya.

“Jangan tunggu anak sudah demam seminggu dua baru hendak bawa ke hospital kerana sekarang ini macam-macam jenis penyakit baharu ada Kawasaki saya dengar ada Chikunguynya,” titah Tunku Azizah.

Raja Permaisuri Agong berkata demikian ketika menyampaikan titah perasmian Hospital Tunku Azizah hari ini.

Baginda turut menyebut tentang kepentingan memberikan imunisasi kepada anak-anak seperti yang dituntut kerajaan.

“Saya memang ambil berat kesihatan anak-anak daripada lahir hingga ke tua anak saya kerana bagi seorang yang begitu susah dapat anak, saya ambil lebih berat lagi daripada lahir anak saya sehingga mereka masuk ke sekolah.

“Saya tentukan yang mereka menerima imunisasi sebagaimana yang dituntut oleh kerajaan kita pada lahir hingga mereka masuk ke sekolah, hingga ke universiti kerana kesihatan anak-anak adalah penting untuk generasi akan datang,” titahnya lagi.

Baginda yang berangkat di Hospital Tunku Azizah kira-kira 11.30 pagi diiringi anakandanya, Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah.

Mengiringi Raja Permaisuri Agong itu, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Hospital Tunku Azizah sebelum ini dikenali sebagai Hospital Wanita dan Kanak-kanak Kuala Lumpur dibangunkan secara Pembiayaan Inisiatif Swasta (Private Finance Initiative -PFI) dengan kerjasama antara UEM Group Berhad dan Najcom Sdn. Bhd.

Hospital Tunku Azizah yang mula dibina pada 2013 beroperasi secara berperingkat pada 25 Febuari 2019 dan beroperasi  sepenuhnya pada Ogos tahun yang sama.

Ia dilengkapi dengan 600 katil untuk pesakit Pedriatrik, Obstetrik dan Uinekologi, Unit Penjagaan Rapi Dewasa (ICU), Unit Penjagaan Pedriatrik (PICU), Penjagaan Rapi Neonatal, Bone  Marrow Transplant (Pemindahan Sum-sum Tulang) dan Pedriatic Burn Bath.

Turut disediakan 24 dewan untuk kegunaan pembedahan Ginekologi,  Pediatrik, Hybrid Neuro dan bersalin termasuk 8 suit kemoterapi.

Tunku Azizah berkenan melawat dua fasiliti terpilih yang terdapat di hospital tersebut iaitu Pusat Transplan Sel Stem dan Pusat Perubatan Reproduktif sebelum berangkat meninggalkan hospital.

Raja Permaisuri Agong juga sempat merakamkan tahniah kepada kerajaan dalam titahnya kerana berjaya menubuhkan hospital khas untuk wanita dan kanak-kanak. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast