Ketua Pengarah Pelajaran, Dr Habibah Abdul Rahim beramah mesra dengan pelajar ketika membuat tinjauan hari pertama Program Sarapan pagi (PSP) di Sekolah Kebangsaan Seri Suria, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 20 JANUARI 2020

KUALA LUMPUR – Murid-murid di 100 buah sekolah rendah di seluruh negara yang layak mendapat makanan menerusi Program Sarapan Percuma (PSP) akan menikmati menu berkhasiat bermula hari ini.

Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia Habibah Abdul Rahim berkata, pihak yang bertangungjawab dalam penyediaan makanan berkenaan boleh menyediakan menu berkhasiat bergilir-gilir untuk murid.

“Makanan yang disediakan berdasarkan cadangan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia mestilah mengandungi nutrisi dan kalori yang sesuai dengan peringkat umur mereka.

“Ada lebih 20 menu disediakan, kantin sekolah boleh gilir-gilir sediakan menu, bagi sekolah yang tiada kantin kita cadang ia disediakan oleh pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), guru, ibu bapa atau pihak luar, masih diteruskan walaupun tidak ada kantin,” katanya.

Habibah berkata demikian selepas meninjau program PSP yang bermula hari ini di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Suria, di sini, hari ini.

Beliau berkata, bagi permulaan seramai 4,000 murid sekolah rendah akan menerima manfaat daripada program berkenaan.

“Dari segi peruntukan mencukupi, kita sasarkan 100 sekolah, dalam 4,000 murid sahaja, ikut sekolah yang ada paling ramai murid miskin juga kita lihat taburannya merentasi Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), supaya kita dapat lihat pelaksanaannya secara menyeluruh dan kombinasi sekolah pelbagai jenis,” ujarnya.

Beliau menambah, pemilihan murid yang layak juga dibuat berdasarkan garisan kemiskinan nasional.

Program PSP merupakan penambahbaikan daripada program Rancangan Makanan Tambahan (RMT) sedia ada dan sudah dilaksanakan sejak 1979.

Untuk PSP, murid yang layak akan diberikan makanan percuma sebelum bermulanya sesi pembelajaran, berbanding RMT yang diberikan pada waktu rehat.

Mereka turut dibekalkan bekas makanan yang mempunyai nama sendiri dan boleh diguna berulang kali.

Seramai 36 murid dari SK Seri Suria yang layak menerima sarapan pagi percuma itu hari ini dijamu nasi lemak, sepotong buah, dan secawan air.

PSP dicadangkan bekas Menteri Pendidikan, Maszlee Malik pada Ogos tahun lalu, untuk 2.7 juta murid mendapatkan makanan berkhasiat sebelum bermulanya sesi pembelajaran.

Bagaimanapun akibat kekangan kewangan program itu hanya meliputi 100 sekolah sahaja.

Perbelanjaan bagi keseluruhan program berkenaan dianggarkan sebanyak RM1.67 bilion.

Namun, dengan hanya melibatkan 100 sekolah, hanya RM22 juta diperlukan, dan ia turut melibatkan penyertaan syarikat swasta. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Bagus program yang diilhamkan oleh BN puluhan tahun dahulu. Ianya banyak membantu rakyat miskin B40, mungkin ramai yang telah dibantu hari ini sudah ada yang menjadi doktor, peguam, professor, ahli perniagaan berjaya dan sebagainya…

    Masa untuk memberi semula!

Comments are closed.