Datuk Ahmad Maslan bersama Tan Sri Shahrir Abdul Samad di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 06 JANUARI 2020.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mendakwa Tan Shahrir Samad dan Datuk Seri Ahmad Maslan esok di Mahkamah Sesyen di sini.

Shahrir dan Ahmad masing-masing bakal menghadapi satu dan dua pertuduhan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

SPRM telah menahan Shahrir pada pukul 11.22 pagi manakala Ahmad pula ditahan pada pukul 10.10 pagi ini di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya selepas mereka hadir untuk melengkapkan proses siasatan akhir.

Kedua-dua mereka kemudiannya dilepaskan dengan jaminan SPRM.

Oktober tahun lalu, Ahmad Maslan mengesahkan beliau telah disiasat SPRM dan pihak polis berhubung dakwaan menerima wang yang dikatakan berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Bagaimanapun kata bekas Timbalan Menteri Kewangan itu, beliau tidak menerima cek yang dimaksudkan kedua-dua pihak.

“Saya juga telah menandatangani dokumen PDRM dan SPRM bahawa saya tidak pernah menerima wang seperti yang dinyatakan,” katanya.

Ahli Parlimen Pontian itu disebut oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya antara 80 individu dan entiti menerima notis kompaun daripada SPRM bagi mendapatkan semula wang-wang yang mengalir keluar dari salah guna akaun kes 1MDB.

Notis kompaun segera itu disiasat mengikut Seksyen 92 (1) di mana sekiranya gagal membayar kompaun itu, pihak terbabit akan dihadap ke mahkamah.

Mengikut senarai, antara yang menerima notis kompaun adalah adik bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Nazir Razak, Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan dan bekas menteri Kabinet, Tan Sri Shahrir Samad.

Entiti yang melibatkan syarikat, parti politik, yayasan dan pertubuhan bukan kerajaan pula adalah Institut Terjemahan dan Buku Malaysia, Bahagian-Bahagian UMNO, Barisan Nasional, MIC, MCA, Gerakan, Parti Progresif Rakyat dan Parti Rakyat Sarawak.- MalaysiaGazette