KUALA LUMPUR – Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking hari ini berkata, tiada sebarang rancangan untuk mengadakan mesyuarat rasmi antara pegawai Malaysia dan India mengenai minyak sawit pada Sidang Kemuncak Forum Ekonomi Dunia (WEF) di Davos, Switzerland, minggu depan.

Beliau bagaimanapun tidak menolak kemungkinan bertemu dengan pegawai India pada persidangan itu yang akan disusuli dengan perbincangan membabitkan kepentingan dua hala.

“Tiada sebarang rancangan khusus untuk bertemu. Namun, di sepanjang acara itu kita mungkin bertembung antara satu sama lain dan saya yakin sapaan ‘Hello’ itu akan memulakan sesuatu dengan baik,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan majlis pemeteraian memorandum perjanjian antara InvestKL China Special Channel dan Dewan Perniagaan dan Perindustrian China di sini, hari ini.

Darell diminta mengulas mengenai kemungkinan satu mesyuarat rasmi antara beliau dan rakan sejawatnya dari India, Piyush Goyal diadakan di Davos sebagaimana dilaporkan oleh media asing.

Laporan itu menyebut bahawa Goyal tidak akan bertemu dengan Darell berikutan ‘jadualnya yang padat.’

Pada 8 Jan lepas, kerajaan New Delhi bertindak mengenakan sekatan terhadap import minyak sawit bertapis dari Malaysia atas alasan bagi melindungi pihak penapis domestik.

Susulan itu, Menteri Industri Utama Teresa Kok menyangkal laporan bahawa India menggesa sekatan terhadap minyak sawit Malaysia.

India bergantung kepada pengimportan 70 peratus daripada keperluan minyak makannya manakala minyak sawit Indonesia dan Malaysia menyumbang hampir dua pertiga daripada import tahunan minyak sayuran sebanyak 15 juta tan.

Kerajaan India pada Januari bertindak menguatkuasakan pengurangan duti import ke atas minyak sawit mentah (MSM) kepada 37.5 peratus daripada 40 peratus manakala minyak bertapis kepada 45 peratus daripada 50 peratus. – MalaysiaGazette