KUALA LUMPUR – Ahli-ahli keluarga baharu Liga M3 mengakui teruja dengan beberapa pendekatan yang mereka sedang pelajari daripada Amateur Football League (AFL) terutama dalam sistem pendaftaran FAM MyPAS bagi membentuk mereka ke arah pasukan yang lebih profesional dalam soal pengurusan.

Pengurus KSR Sains FC, Mohd Faiz Mohd Razali berkata, jika sebelum ini urusan pendaftaran pemain adalah sesuatu yang mudah ketika bersaing di saingan M4 iaitu dalam Piala Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS) tetapi kali ini mereka mempelajari sesuatu yang baharu.

Malah, melalui sistem FAM MyPAS ini, mereka boleh mempunyai data yang lebih sistematik untuk setiap pemain serta mengelakkan berlaku isu pertindihan pendaftaran pemain yang sama di pasukan lain.

“Ini pengalaman pertama buat kami mengenai apakah itu sistem MyPAS dan setelah mengikuti taklimat, kita dapati ini sesuatu yang baik serta baharu buat pasukan-pasukan amatur seperti kami.

“Jika sebelum ini urusan pendaftaran pemain ini mudah sahaja dengan tulis atas kertas namun dengan adanya sistem ini, ia sesuatu yang senang kepada kita semua melihat semula data pemain.

“Sebelum ini kita pernah ada daftar pemain secara bukan atas talian tetapi apabila diperiksa, rupa-rupanya pemain itu telah daftar dengan pasukan lain dan saya harap melalui sistem ini, perkara ini tidak akan terjadi, ” katanya selepas sesi taklimat FAM MyPAS yang diadakan di Wisma FAM pada 20 Januari lalu.

Semua pasukan M3 telah diwajibkan menggunakan sistem pendaftaran pemain di bawah FAM MyPAS sejak musim lalu manakala bagi saingan Liga M4, ia akan dikuatkuasakan sepenuhnya bermula musim 2021.

Sistem FAM MyPAS mula diperkenalkan pada Disember 2016 menerusi projek badan induk itu, ‘FIFA Connect’ yang akan memudahkan pentadbiran dan pengurusan pasukan masing-masing.

Di bawah platform ini, semua pemain dan pegawai yang berdaftar akan diberikan pengenalan diri (ID) serta menjadi asas dari aspek kawalan umur, perlindungan pemain bawah umur serta pembangunan bola sepak di setiap peringkat berteraskan ketelusan maklumat.

Dalam pada itu, sebuah lagi pendatang baharu Liga M3, Ikram Muda FC melalui pengurusnya, Razif Halik juga tidak ketinggalan berkongsi pandangan mengenai sistem itu yang akan beri banyak manfaat kepada keseluruhan pemain.

“Bagi melangkah ke semi pro dan profesional untuk jangka masa panjang, memang baik kita ada data sebegini agar latar belakang dan perkembangan pemain itu diketahui.

“Pada mulanya kami susah juga hendak faham sistem ini kerana memang satu benda baharu namun yakin lama kelamaan kami akan mahir gunakan sistem ini secara perlahan-lahan.

“Bukan sahaja soal FAM MyPAS ini malah banyak benda lain lagi kami pelajari sebaik melangkah ke Liga M3, iaitu kena dapatkan gelanggang kami sendiri, serta mencari penaja bagi mantapkan soal kewangan tetapi perkara-perkara ini sangat baik buat kami untuk jangka masa panjang, “ katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast