JAKARTA – Kerajaan Indonesia menggelarkan pihak berkuasa Malaysia “tidak efektif” susulan penculikan lima nelayan Indonesia minggu lepas di perairan luar Sabah.
Kejadian terbaharu itu menunjukkan tahap keselamatan yang lemah di sempadan tiga negara di antara Malaysia, Indonesia dan Filipina, katanya seperti dipetik The Jakarta Post/ANN.
Menurut Timbalan Menteri Luar Indonesia, Mahendra Siregar, kerajaan sepatutnya mengambil tindakan pantas untuk mengendalikan kes penculikan tersebut dan memastikan keselamatan semua mangsa.
Beliau turut melahirkan rasa kecewa dengan kegagalan pihak berkuasa Malaysia mengawal sempadan.
“Kami sangat kesal kerana insiden-insiden sebegini sudah berulang-kali berlaku.
“Nampak gayanya ia berlaku antara lainnya kerana koordinasi yang tidak efektif dalam kalangan pihak berkuasa Malaysia,” katanya kepada pemberita di kompleks Dewan Rakyat di Jakarta pada Isnin.
Tambah Mahendra, beliau berharap perkara tersebut dapat diperbaiki secepat mungkin.
Mangsa penculikan adalah sebahagian daripada enam anak kapal yang berada di dalam sebuah bot nelayan yang didaftarkan di Sabah sebelum beberapa lelaki bersenjata membawa mereka ke selatan Filipina.
Pihak keselamatan di bawab Esscom dimaklumkan mengenai insiden tersebut oleh nelayan-nelayan lain pada jam 1 petang, Jumaat dan segera melakukan operasi pencarian dan dalam masa yang sama memaklumkan perkara tersebut kepada pihak berkuasa Filipina.
“Ketika ini kerajaan sedang berkerjasama dengan Filipina kerana kes ini telah berada di bawah bidang kuasa Filipina,” kata Mahendra sambil meminta Malaysia mengukuhkan komitmennya melindungi nelayan-nelayan Indonesia yang beroperasi di perairannya.
Kedutaan Malaysia di Jakarta tidak memberi sebarang komen setakat ini. – Agensi