KUALA LUMPUR – Penularan virus Influenza A atau H1N1 yang dilaporkan berlaku di institusi pendidikan kini dalam keadaan terkawal.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, langkah-langkah pencegahan bagi mengawal penularannya turut telah dilaksanakan.
Katanya, setakat ini hanya dua buah sekolah ditutup akibat penularan virus itu dan sekolah yang terlibat iaitu Sekolah Menengah Sains Teluk Intan di Perak serta Sekolah Kebangsaan Stella Maris, Tanjung Aru di Sabah.
“Penutupan kelas pula dilaksanakan di tiga sekolah di Pulau Pinang yang setiap satunya melibatkan tempoh masa berlainan hasil perbincangan antara pihak pejabat kesihatan dan pihak sekolah terlibat.
“Majoriti pelaporan kejadian jangkitan saluran pernafasan yang diterima oleh Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tiga minggu pertama tahun 2020 adalah melibatkan institusi pendidikan.
“Antara faktor penyumbang kepada situasi ini adalah penularan virus influenza yang mudah berlaku di tempat padat seperti di sekolah, di mana murid-murid bergaul rapat sesama mereka sepanjang sesi persekolahan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Noor Hisham berkata, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memberi kerjasama baik kepada KKM dalam memastikan langkah pencegahan dan kawalan jangkitan influenza di sekolah dilaksanakan.
Ujarnya, ia termasuk mengadakan sesi townhall yang dijalankan khususnya bagi sekolah terlibat dengan kejadian wabak itu.
Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, tidak semua demam dan selesema adalah disebabkan jangkitan virus influenza.
Lazimnya jelas beliau, pesakit dengan jangkitan virus itu sembuh tanpa sebarang rawatan spesifik.
Justeru, KKM mengingatkan orang ramai agar mengamalkan kebersihan diri dengan kerap membasuh tangan dengan sabun dan air atau ‘hand sanitiser’, rehat secukupnya, memastikan diri sentiasa terhidrat dan mendapatkan rawatan sekiranya tidak sihat.
Pada masa yang sama, orang awam juga dinasihatkan supaya tidak terpedaya dengan tuntutan perubatan yang dibuat pada sebarang produk yang meragukan terutama yang dikatakan dapat merawat jangkitan influenza.
Dalam perkembangan berkaitan, Noor Hisham memberitahu, sejumlah 99,470 dos vaksin influenza dijangka dibawa masuk ke Malaysia pada bulan ini dan daripada jumlah itu 16,839 dos telah lulus penilaian kualiti oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) pada hari ini dan pihak pembekal akan mengagihkan stok berkenaan ke semua fasiliti yang memohon.
Tambahnya, 15,000 dos lagi telah tiba dalam negara dan akan melalui penilaian kualiti dalam masa terdekat manakala, baki 67,631 dos lagi akan tiba sekitar penghujung Januari.
Pada masa sama, sejumlah 35,100 dos vaksin influenza daripada pembekal alternatif juga telah dibawa masuk ke Malaysia pada minggu ini bagi menampung keperluan semasa. – MalaysiaGazette